WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pencarum PERKESO Lumpuh Bersyukur Terima Bantuan Bulanan

13/08/2024 04:28 PM

GUA MUSANG,13 Ogos (Bernama) -- Terlantar sakit akibat strok sejak tiga tahun lepas, seorang bekas pemandu lori ais Raja Azlan Raja Ibrahim, 38, di Kampung Star, di sini bersyukur menerima pelbagai faedah bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menampung kos pemulihannya.

Beliau yang lumpuh separuh badan dan menghadapi kesukaran untuk bercakap menerima pencen ilat sebanyak RM987 sebulan dan bantuan lain termasuk 45 tin susu khas berharga RM50 setin bagi setiap tiga bulan, lampin pakai buang dewasa, beg urin dan kateter dua hala.

Adik beliau Raja Mohamad Iskandar Raja Ibrahim, 27, yang terpaksa berhenti kerja sebagai pengimpal untuk menjaga abangnya sepenuh masa, turut menerima Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM500 sebulan.

Raja Mohamad Iskandar berkata beliau mengambil alih tanggungjawab menjaga abangnya yang tidak pernah berkahwin selepas ibu mereka meninggal dunia.

“Dahulu sebelum dapat bantuan PERKESO memang kami susah, jadi kami sangat berterima kasih kepada PERKESO kerana membantu dari segi keperluan asas dan bantuan kewangan. Alhamdulillah cukup semuanya,” katanya yang turut melakukan perkhidmatan penghantaran barangan secara sambilan bagi menampung perbelanjaan harian.

Raja Mohamad Iskandar bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan wakil PERKESO yang menyampaikan bantuan alatan pemulihan kepada Raja Azlan di rumahnya, di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata PERKESO sedang giat mengadakan aktiviti penerangan kepada masyarakat di seluruh negara memandangkan masih ramai pencarum tidak mengetahui faedah yang boleh diterima oleh mereka.

“Saya puji PERKESO kerana sangat aktif melaksanakan tugas ini. Kita tidak mahu masyarakat terlepas mendapat manfaat daripada caruman mereka.

“Selepas ini saya akan bincang dengan PERKESO bagaimana cara untuk kita menggunakan teknologi digital terkini seperti kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarluaskan maklumat mengenai manfaat PERKESO,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Rahman dilaporkan berkata sejumlah RM2.9 bilion faedah pembayaran dilaksanakan PERKESO kepada pencarum yang layak seluruh negara di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Ia melibatkan 708,089 penerima faedah, merangkumi pelbagai kategori seperti Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Hilang Upaya Berpukal dan Berkala, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pencen Ilat, Faedah Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan