WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Saya Perlu Masa Untuk Fikir Semula - Azizulhasni

13/08/2024 09:45 PM

 

SEPANG,13 Ogos (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memerlukan masa untuk mempertimbang semula sama ada meneruskan kariernya sebagai pelumba dan beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028  (LA28) ataupun bersara. 

Pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu berkata beliau perlu berbincang dengan keluarganya sebelum membuat keputusan mengenai perkara tersebut. 

Katanya, jurulatihnya John Beasley dan rakan sepasukan ada memujuknya untuk terus beraksi pada LA28 namun beliau belum lagi membuat sebarang keputusan. 

“Selepas perlumbaan (di Sukan Olimpik Paris) John dan Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) serta pasukan harap saya boleh pertimbang untuk beraksi pada (Sukan Olimpik) Los Angeles 2028, tapi saya perlu duduk bersama keluarga dan melapangkan fikiran saya.

“Sebab apa yang berlaku di Paris adalah sesuatu yang tak biasa dalam karier saya tapi pada saya mereka tahu kalau saya berhenti berlumba saya akan tetap aktif dalam sukan, paling penting kalau mereka perlu bantuan saya, saya akan bantu,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) akan menyokong apa sahaja keputusan yang akan dibuat pelumba berusia 36 tahun itu dan akan tetap menyokong keperluannya. 

Azizulhasni terpaksa menamatkan saingan di Sukan Olimpik Paris 2024 seawal pusingan pertama acara keirin lelaki selepas penyertaannya dibatalkan kerana tindakannya memotong pacer di Velodrom Quentin-en-Yvelines, Sabtu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan