WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Selangor Agih Lebih 100,000 Jalur Gemilang

13/08/2024 05:35 PM

SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor giat mengagihkan lebih 100,000 Jalur Gemilang ke seluruh negeri itu bagi menyemarakkan lagi Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 sempena sambutan Bulan Kebangsaan. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata agihan secara percuma itu dibuat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 56 pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Kita harap penduduk setempat dapat memasang bendera yang diberikan ini untuk menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat terutama menjelang sambutan kemerdekaan negara.

“Semangat patriotisme dan sayang negara ini mengatasi politik. Jadi mari sama-sama meriahkan sambutan Hari Kebangsaan ini dengan kibaran bendera negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Amirudin berkata selain PBT dan pusat khidmat masyarakat DUN, pihaknya menyarankan semua anak syarikat milik kerajaan negeri bersama-sama mengagihkan Jalur Gemilang kepada para pekerja untuk mereka kibarkan atau pamerkan di pejabat dan lokasi lain yang bersesuaian.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 menggesa semua lapisan rakyat termasuk sektor swasta untuk mengangkat semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman dan pejabat masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan