WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir Di Alor Gajah Hampir Pulih, Hanya Dua PPS Masih Beroperasi

13/08/2024 05:51 PM

MELAKA, 13 OGOS (Bernama) -- Keadaan banjir di Alor Gajah sejak Ahad lalu semakin hampir pulih sepenuhnya apabila hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di daerah itu.

Jumlah mangsa menurun kepada 50 orang daripada 15 keluarga setakat jam 4 petang ini berbanding 237 orang daripada 61 keluarga pada jam 7 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata 39 mangsa daripada 11 keluarga masih tinggal di PPS Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau.

“PPS Balai Raya Seri Jeram pula menempatkan 11 mangsa daripada empat keluarga manakala empat PPS iaitu Balai Raya Paya Lebar, Balai Raya Ayer Paabas, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ar-Rasyidin dan Japerun) Kuala Linggi ditutup secara berperingkat bermula 9 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya kawasan masih terjejas banjir adalah Kampung Paya Lebar, Kampung Seri Jeram, Kampung Ladang, Kampung Keramat Lebai, Kampung Teluk Berembang, Kampung Titian Bintangor, Kampung Pengkalan Pauh, Taman Desa Bayu dan Felcra Air Molek.

Cuaca dilaporkan cerah pada petang ini dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan