WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM hulur sumbangan kepada 109 mangsa banjir di Alor Gajah

13/08/2024 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan kepada 109 mangsa banjir di Alor Gajah, Melaka.

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan beliau iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Ar-Rasyidin Seri Bayu di Alor Gajah.

“Ini PPS pertama (yang saya lawati) sebelum ke PPS seterusnya. Di PPS ini, telah ditempatkan sebanyak 59 keluarga iaitu seramai 163 mangsa yang terjejas dalam bencana banjir di kawasan sekitar tidak termasuk PPS lain.

“Saya turut menyerahkan sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 109 mangsa yang terkesan setakat 12 Ogos di PPS ini termasuk di PPS seterusnya,” kata Shamsul Iskandar dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam turut hadir bagi meninjau keadaan mangsa banjir yang terkesan di kawasan itu.

Shamsul Iskandar turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia yang membantu mangsa banjir.

“Saya juga berdoa agar mangsa-mangsa yang terlibat tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan