WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOSTI Sedia Segenap Sokongan Untuk Malaysia Bersaing Di Arena Pengkomersialan Antarabangsa

13/08/2024 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Tadbir urus yang baik, dasar lebih progresif, pembiayaan dan pelaburan yang kukuh, kesiapan teknologi serta modal insan mahir diperlukan Malaysia untuk bersaing secara agresif di arena pengkomersialan antarabangsa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pihaknya kekal komited memupuk inovasi dari peringkat awal sehingga merealisasikannya ke pasaran.

“Dari pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengujian atau validasi produk/teknologi hingga memudah cara proses pengkomersialan, kementerian menyediakan sokongan menyeluruh kepada para inovator kita,” katanya ketika berucap menutup Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bergerak ke hadapan dengan lebih fokus untuk membawa pengkomersialan R&D ke pasaran global melalui inisiatif MCY Goes Global bermula 2021 dengan fasa MCY 3.0. 

Bagaimanapun, untuk menangani kekangan pandemik, kementerian itu telah membuat beberapa penyesuaian untuk memastikan agenda nasional terus dilaksanakan, katanya.

“Pelaksanaan yang dilakukan secara berperingkat mampu mengukuhkan ekosistem pengkomersialan nasional sebelum kita beralih kepada misi dan visi yang lebih maju,” katanya.

Mohammad Yusof berkata menerusi MCY 3.0, MOSTI akan meneruskan penganjuran Sesi Due Diligence (DD) untuk menilai kesiapan teknologi produk dan perkhidmatan R&D bagi menentukan bantuan yang bersesuaian untuk mempercepat pengkomersialan.

“Sehingga 2024, sejumlah 1,285 produk, teknologi atau perkhidmatan telah melalui proses DD ini,” katanya.

Beliau berkata inisiatif MCY berjaya membawa kepada pengkomersialan sebanyak 553 produk, teknologi dan perkhidmatan dengan nilai jualan melebihi RM729.9 juta dari 2016 sehingga 2023.

“Produk dan teknologi R&D ini telah menembusi pasaran tempatan serta antarabangsa dan kita dapat menyaksikan peralihan negara secara beransur-ansur daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi,” katanya.

Sementara itu, sebanyak empat Memorandum Persefahaman (MOU) dan dua Memorandum Persetujuan telah dimeterai, selain satu perjanjian kerjasama antara Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan Moscow Engineering Physics Institute (MEPhi).

Terdapat juga enam kategori anugerah diberikan kepada para inovator iaitu Anugerah Inovator Baharu, Anugerah Pencapaian Pengkomersialan, Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan, Anugerah Usahawan Penyelidik, Anugerah Usahawan Sosial dan Anugerah Keseluruhan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan