WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tony Fernandes terima Anugerah Penghargaan Pelancongan Sabah

13/08/2024 10:18 PM

KOTA KINABALU, 13 Ogos (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes menerima Anugerah Penghargaan Pelancongan Sabah daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) atas sumbangan luar biasa beliau kepada industri pelancongan negeri.

Fernandes menerima anugerah itu daripada pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, di sini, hari ini.

AirAsia dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan ini menghargai dedikasi Fernandes terhadap sektor pelancongan negeri sejak dua dekad lepas.

Selama 22 tahun di bawah kepimpinan dan visi beliau, AirAsia bukan sahaja mentakrif semula perjalanan udara tetapi juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah.

Syarikat penerbangan itu berkata di bawah kepimpinan beliau, AirAsia bukan sahaja meluaskan jangkauannya tetapi juga telah membantu meletakkan Sabah sebagai hab pelancongan dan hospitaliti yang berkembang maju serta mewujudkan limpahan peluang pekerjaan.

“Kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan pelancongan negeri dan visi serta dedikasi beliau telah mewujudkan asas AirAsia untuk pengembangan berterusan, memastikan Sabah kekal menerajui pelancongan serantau,” katanya.

Menurut AirAsia, Sabah merupakan hab kedua terbesar AirAsia di Malaysia, jelas mencerminkan komitmen syarikat penerbangan itu terhadap negeri ini.

“Dengan 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa secara terus ke Sabah, AirAsia merancang untuk menambah bilangan pesawat pada hujung tahun ini,” katanya. 

Bermula 30 Ogos, AirAsia akan memulakan penerbangan harian antara Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Subang.

Syarikat penerbangan ini juga bersedia untuk memperkenalkan 10 destinasi baharu dalam tempoh enam bulan akan datang, termasuk laluan ke China dan Vietnam, yang menekankan komitmennya untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.

“Sabah sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Penghargaan ini bukan sahaja satu penghormatan buat saya, tetapi juga untuk seluruh pasukan AirAsia, yang telah memberi impak besar bagi memastikan negeri yang indah ini terus berkembang dan makmur,” kata Fernandes.

Pengerusi AirAsia Aviation Group Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata komitmen Fernandes terhadap pembangunan Sabah amat mengagumkan dan sangat penting.

“Asas kukuh yang beliau bina akan memacu perniagaan penerbangan AirAsia ke hadapan, membolehkan kami  terus memainkan peranan penting bagi masa depan Sabah,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan