WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Perintis Tanaman Padi Dilancarkan Di Kota Marudu

13/08/2024 08:15 PM

KOTA MARUDU, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sawit Kinabalu Group dengan kerjasama Jabatan Pertanian memulakan projek perintis penanaman padi seluas 100 hektar di Kampung Ongkilan di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek perintis itu bertujuan membantu kerajaan negeri mencapai tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030.

“Keselamatan makanan menjadi isu utama dunia dan Sabah tidak terkecuali. Negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya 400,000 tan beras setiap tahun, namun pengeluaran domestik hanya memenuhi 20 peratus permintaan. 

“Menjadi tanggungjawab kerajaan menguruskan keselamatan makanan dengan bijak dan berkesan bagi memenuhi permintaan rakyat terutama beras,” katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan projek itu di sini hari ini.

Sawit Kinabalu menggunakan sumber dan teknologi canggih termasuk dron untuk membantu operasi penanaman padi dan projek bernilai RM5 juta itu turut menggunakan pam air serta sistem pengairan yang lebih sistematik untuk meningkatkan kecekapan penyelenggaraan. 

Hajiji berkata daerah ini mempunyai kira-kira 2,600 hektar sawah terbiar atau tidak digunakan. 

“Justeru, tindakan perlu diambil bagi memastikan sawah padi terbiar ini dapat dibangunkan semula. Saya mahu lebih banyak GLC di Sabah mencontohi usaha Sawit Kinabalu,” katanya.

Ketua Menteri itu juga mahu tanah milik GLC yang tidak digunakan agar dibangunkan untuk pertanian terutamanya padi yang boleh dilaksanakan dengan bantuan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri.

“Inisiatif Sawit Kinabalu selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan produktiviti padi dan beras negeri. Saya berharap projek penanaman padi Sawit Kinabalu akan diperluaskan untuk meningkatkan ekonomi dan keuntungan kumpulan," katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri komited menyokong inisiatif yang memacu pembangunan ekonomi yang pesat, mampan dan meningkatkan kualiti hidup di Sabah.

Beliau gembira kerana Sawit Kinabalu bukan sahaja mengendalikan ladang dan kilang kelapa sawit malah turut menyumbang kepada sektor lain seperti projek pembiakan barramundi (siakap) di Langkon yang akan merangsang lagi industri makanan tempatan.

“Saya menggesa semua jabatan kerajaan dan agensi berkaitan sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam memperkukuh sektor pertumbuhan ekonomi utama negeri seperti termaktub dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan