WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AWE Malaysia Manfaatkan 240 Usahawan Wanita Sejak 2020 - Nancy

13/08/2024 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Akademi Usahawan Wanita (AWE) di Malaysia telah dilaksanakan di 11 negeri di seluruh Malaysia dan memberi manfaat kepada 240 usahawan wanita sejak empat tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pencapaian ini turut memberi impak positif kepada lebih 12,000 individu dalam komuniti itu.

Beliau berkata AWE telah membuktikan kejayaannya di peringkat global dan Malaysia bertuah kerana dipilih untuk melaksanakan program ini susulan hubungan kukuhnya dengan Amerika Syarikat (AS).

“Kerjasama antara AWE, MADCash dan Jabatan Pembangunan Wanita di bawah kementerian ini adalah bukti visi bersama kami untuk memperkasakan kaum hawa untuk merebut peluang dalam bidang keusahawanan.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Ini adalah pencapaian penting dan kami mengharapkan hasil yang lebih hebat daripada kohort kelima ini,” katanya dalam ucapan perasmian pada Majlis Makan Malam Gala AWE 2024 di sini malam ini.

AWE, sebuah program pertukaran Jabatan Negara AS, menyasarkan untuk memperkasakan wanita dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian yang diperlukan untuk melancar serta mengembangkan perniagaan mereka yang berjaya di peringkat global.

Di Malaysia, AWE adalah sebahagian daripada Inisiatif Pemerkasaan Wanita Kedutaan AS di Kuala Lumpur, yang meningkatkan akses kepada pendidikan, memajukan kesetaraan ekonomi dan mengatasi halangan kepada kesaksamaan.

Nancy juga berkata kerajaan secara konsisten telah membuktikan komitmennya dalam menyokong akses wanita kepada pembiayaan. 

“Pada 2023, di bawah Pelan Tindakan Bersepadu Perusahaan Kecil dan Sederhana, sebanyak 10.89 bilion telah diperuntuk kepada program PKS yang merangkumi 60 inisiatif yang tertumpu khusus kepada pembangunan wanita.

“Selain itu, kerajaan telah melabur hampir RM2 bilion melalui program keusahawanan untuk wanita tahun lepas. Matlamat kami adalah jelas: untuk meningkatkan nisbah PKS milik wanita kepada 30 peratus,” katanya.

Pada majlis itu, Nancy melancarkan kohort kelima AWE dan menyampaikan sijil kepada kohort keempat.

Menyentuh mengenai kohort kelima, beliau berkata program itu yang direka untuk memperkasakan usahawan wanita dalam tempoh setahun melalui latihan, bimbingan dan sokongan berterusan akan dilaksana di Lembah Klang, Pulau Pinang, Pahang serta Sarawak.

Sementara itu, Duta AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata kedutaan itu sudah lama mengiktiraf peranan penting wanita dalam membentuk masyarakat dan memacu perubahan positif.

“Melalui Inisiatif Pemerkasaan Wanita, kami telah mendedikasikan sumber yang penting untuk menyokong wanita Malaysia yang berhasrat menjadi peneraju dan melakukan perubahan dalam komuniti mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan