WILAYAH - TIMUR > BERITA

Valdumar Tinggalkan KDN FC, Dapat Tawaran Kelab Libya

14/08/2024 01:18 PM

KOTA BHARU, 14 Ogos (Bernama) -- Penyerang import Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Valdumar Augusto Te meninggalkan pasukan itu selepas mendapat tawaran menyertai kelab dari Libya.

KDN FC dalam kenyataan media hari ini berkata pihaknya mengesahkan penyerang import dari Guinea-Bissau itu meninggalkan kelab selepas hampir setengah musim bersama pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Kontrak pemain itu bersama pasukan berakhir berkuat kuasa hari ini. Ketika bersama KDN FC Valdumar beraksi dalam sembilan perlawanan termasuk satu perlawanan pusingan kalah mati pada aksi Piala FA menentang JDT FC," menurut kenyataan itu. 

Menurut KDN FC, difahamkan Valdumar meninggalkan kelab berikutan kesulitan untuk menyesuaikan diri dengan skuad kendalian Park Jaehong sekali gus memutuskan tidak menyambung kontrak.

"Pemain berusia 26 tahun ini sentiasa menunjukkan komitmen tinggi, bersikap profesional selain sentiasa memberikan yang terbaik kepada kelab dan pasukan sejak dibawa masuk pada April lepas. 

"Pihak pengurusan kelab merakamkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Valdumar serta berbangga dengan segala sumbangan diberikan terutamanya pada setiap sesi latihan dan perlawanan rasmi melibatkan Kelantan Darul Naim FC," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan