WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: Skuad Sofbol Sarawak Bermula Langkah Kiri

15/08/2024 12:19 PM

MIRI, 15 Ogos (Bernama) -- Skuad sofbol lelaki Sarawak memulakan kempen Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan langkah kiri selepas tewas kepada Johor dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, hari ini.

Pada aksi Kumpulan A, Sarawak yang mempamerkan kebangkitan di innings keempat dan keenam bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan tipis 8-9 kepada Johor dalam perlawanan berlangsung selama dua jam.

Ketua jurulatih Aaron Abel Donald ketika ditemui memuji semangat dipamerkan anak buahnya yang memberikan tentangan sengit kepada pasukan Johor.

“Kita berikan tentangan sengit walaupun mula-mula ketinggalan jauh 3-8 di innings ketiga tapi kita berjaya bangkit semula. Namun tak bernasib baik ia berakhir di innings keenam dengan mata 8-9.

“Apapun saya cukup puas hati dengan persembahan para pemain. Kami masih ada lagi dua perlawanan dan mahu mencipta kemenangan dalam usaha mara ke peringkat seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu dalam pertembungan Kumpulan B, Perak menang tipis 3-2 mengatasi Pahang.

Sofbol menawarkan dua pingat emas masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita, membuka tirai hari ini dan berlangsung sehingga 19 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan