WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Geng Curi Kabel Tumpas, Tujuh Ditahan

15/08/2024 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Polis menumpaskan kumpulan pencuri kabel selepas menahan tujuh lelaki di sekitar ibu negara dan Selangor pada 25 Julai lepas. 

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata empat lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 29 hingga 43 tahun itu ditahan susulan laporan polis pada 22 Julai lepas berhubung kejadian kecurian kabel di kawasan tapak pembinaan di Jalan Segambut.

Beliau berkata tiga daripada suspek itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan modus operandi didalangi empat lelaki tempatan diketuai suspek dikenali sebagai Putra.

"Pihak polis turut merampas antaranya empat kereta, 10 telefon bimbit, enam guni gumpalan wayar, 35 gulungan wayar kabel dan peralatan memotong wayar kabel. Jumlah nilai rampasan dianggar RM150,000.

“Sindiket menyasarkan kabel, besi copper dan aluminium di kawasan tapak projek dan perumahan yang akan dijual semula di kedai besi buruk bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Beliau berkata polis sedang mengesan seorang lagi suspek warga tempatan  bagi membantu siasatan terhadap sindiket yang aktif sejak Jun tahun lepas dan dengan penahanan kesemua suspek pihak polis menyelesaikan 11 kes kecurian kabel di sekitar Kuala Lumpur.

Ahmad Sukarno berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki warga emas ditahan pada 9 malam 7 Ogos lepas kerana dipercayai terlibat dengan 10 kes kecurian di sekitar Sentul sejak beberapa bulan lepas.  

Beliau berkata lelaki warga tempatan berusia 61 tahun itu ditahan di Jalan Ipoh dan polis turut merampas telefon bimbit, komputer riba dan pakaian dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,000.

“Suspek mengaku terbabit dalam 10 kes kecurian dalam kenderaan di Sentul. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Suspek direman hingga esok untuk siasatan lanjut," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan