WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AmanahRaya Lancar Aplikasi Mudah Alih Tingkatkan Kecekapan Penulisan Wasiat

15/08/2024 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) secara rasminya melancarkan aplikasi mudah alih My AmanahRaya untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan perkhidmatan penulisan wasiat di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata aplikasi itu, yang turut mengintegrasikan perkhidmatan seperti perancangan warisan dan pengurusan amanah, dihasilkan untuk memudahkan dan mempercepatkan pelanggan mengakses perkhidmatan AmanahRaya.

“Menerusi aplikasi ini, kami berharap dapat menyampaikan perkhidmatan kami secara lebih mudah dan pantas kepada rakyat dengan menguruskan semua aspek penulisan wasiat.

“Ia bermula daripada menghubungkan pelanggan dengan ejen berdekatan sehingga menyelesaikan proses sepenuhnya dalam aplikasi itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi itu yang disempurnakan oleh Pengerusi AmanahRaya Tan Sri Idrus Harun di sini hari ini.

Beliau berkata, sama seperti aplikasi yang menawarkan perkhidmatan e-hailing, pengguna perlu menekan butang untuk permohonan wasiat sebelum ejen bertauliah hadir untuk menguruskan proses daripada awal sehingga akhir.

“Jika anda memerlukan wasiat, buka aplikasi, tekan butang, dan ejen akan mengunjungi anda untuk menguruskan keseluruhan proses, membolehkan anda membayar wasiat melalui aplikasi dan menerima salinan cetak, tanpa perlu ke pejabat kami,” katanya.

Ahmad Feizal berkata, aplikasi itu memperkenalkan saluran menjana pendapatan baharu dengan membolehkan orang ramai mendaftar sebagai ejen AmanahRaya, yang bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah meluaskan jangkauannya.

“Ini akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan kepada orang ramai, dan sehingga akhir Julai, AmanahRaya telah mendaftarkan sejumlah 1.1 juta wasiat di samping mengurus dan mentadbir lebih 14,000 fail harta pusaka bernilai RM1.7 bilion dan 38,000 fail amanah bernilai RM1.3 bilion,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Feizal berkata hanya lima peratus rakyat Malaysia mempunyai wasiat, peratusan yang dianggap rendah untuk negara sedang pesat membangun.

Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Kumpulan, Jack Yap Ngee Hong berkata aplikasi itu membolehkan sesiapa sahaja menjadi ejen, bergantung kepada syarat lulus dalam peperiksaan kelayakan.

“Semasa menggunakan aplikasi ini, anda boleh memilih butang ‘Join as an Agent.’

“Untuk menjadi ejen berkelayakan, anda mesti lulus peperiksaan kelayakan dengan markah tinggi, memperlihatkan komitmen kami untuk memastikan ejen mahir dalam produk yang mereka tawarkan,” katanya.

Yap berkata aplikasi itu, yang secara teknikalnya telah bersedia pada Jun, setakat ini hanya mencatatkan 45 ejen berdaftar.

“Walaupun kami mempunyai ribuan ejen, kami hanya memilih 45 ejen untuk ujian rintis mulai Jun sehingga kini bagi memastikan kualiti berbanding kuantiti. 

“Bagaimanapun, dengan pelancaran secara rasmi hari ini, kami menjangkakan peningkatan jumlah ejen yang ketara,” katanya.

Menurut Yap, walaupun mempunyai sasaran untuk mendaftarkan sebanyak 5,000 wasiat menjelang akhir 2024, mencapai sasaran ini hanya menerusi aplikasi adalah mencabar berikutan demografi yang berbeza-beza, menyaksikan terutamanya generasi lebih berusia, berpotensi untuk memilih kaedah tradisional.

Aplikasi My AmanahRaya kini boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi AmanahRaya Care di talian 03-2723 7273.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan