WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Proton Sasar Jual 2,000 Unit Model X70 2025 Sebulan

15/08/2024 08:06 PM

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Proton Holdings Bhd menyasarkan untuk menjual model terbaharu, Proton X70 2025 sehingga 2,000 unit setiap bulan berikutan permintaan kukuh untuk model semasa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Abdullah berkata Proton X70 telah menjadi kegemaran ramai dengan jualan lebih 1,000 hingga hampir 2,000 unit sebulan.

"Untuk Proton X70 2025, kami menyasarkan angka jualan dalam julat yang sama, lebih 1,000 dan sehingga 2,000 unit berdasarkan peningkatan dan harga kompetitif yang kami perkenalkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Proton terbaharu itu.

Roslan berkata selain daripada pasaran sedia ada, Proton juga merancang untuk mengeksport model itu ke lebih 10 negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata pelancaran Proton X70 2025 menandakan kejayaan baharu dalam perkongsian Proton-Geely.

"Dengan begitu banyak kejayaan dalam tempoh 18 bulan lepas...pelancaran Proton X90 dan X70, pengenalan kenderaan elektrik, pembukaan pusat penyelidikan dan pembangunan di China dan pelancaran e.MAS, Proton mencatat pelbagai kejayaan sejak pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton pada 2018," katanya.

SUV segmen B Proton (versi terbaharu yang dipertingkatkan) boleh didapati dalam varian Standard, Executive, Premium dan Premium X pada harga antara RM98,800 hingga RM126,800.

Sempena pelancaran itu, Proton menawarkan sehingga RM23,500 ciri-ciri nilai tambah tanpa kos tambahan untuk 3,000 pelanggan pertama mendaftar pembelian Proton X70 2025.

Model baharu itu dilengkapi dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data lima tahun dengan satu gigabait (GB) sebulan dan enam kali perkhidmatan buruh secara percuma.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan