BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: Ubah Pingat Perak Ke Emas Penutup Terindah Nur Hazirah Di Laman Sendiri

16/08/2024 09:46 AM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Mengubah warna kilauan pingat perak kepada emas menerusi acara tenpin boling perseorangan wanita pada edisi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menjadi penutup terindah buat atlet tuan rumah, Nur Hazirah Ramli dalam penampilan terakhir di temasya dwitahunan berkenaan. 

Berpegang kepada “genggam bara api biar sampai jadi arang” mendorong atlet berusia 21 tahun itu untuk terus berjuang walaupun menghadapi kesukaran.

Anak jati Bumi Kenyalang itu mengakui ketenangan setiap kali berlaku pertukaran lorong membantu beliau mengekalkan momentum untuk mencipta kejayaan di laman sendiri. 

“Sangat bersyukur dan gembira dapat tebus (pingat) perak jadi emas yang merupakan impian saya untuk penampilan pada SUKMA tahun ini dan beraksi di laman sendiri. Jadi pingat emas ini sangat istimewa buat saya,” katanya kepada pemberita di Megalanes Sarawak malam tadi. 

Nur Hazirah juga mendedikasikan pingat emas berkenaan kepada barisan jurulatih, keluarga dan rakan yang tidak pernah berhenti memberi sokongan kepadanya.

Pada edisi 2022, Nur Hazirah menamatkan saingan kategori sama di tempat kedua untuk memperoleh perak apabila rakan senegerinya, Lavinia Kho berjaya menggondol emas ketika itu. 

Terdahulu, beliau mengungguli acara berkenaan apabila melakukan 1,261 jatuhan pin manakala atlet Selangor, Adania Mohd Redzwan dan Haiffa Hazlan mewakili Wilayah Persekutuan masing-masing membawa pulang pingat perak (1,254)  dan gangsa (1,239). 

Sementara itu, atlet tenpin boling remaja kebangsaan Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan mengakui gelaran Masters lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 baru-baru ini membantunya untuk berusaha mendapatkan pingat emas buat Terengganu. 

“Saya gembira sebab ini kali pertama emas dalam acara tenpin boling untuk Terengganu selepas 13 tahun. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan saya,” katanya. 

Atlet berusia 17 tahun itu mempamerkan aksi konsisten sepanjang enam set permainan dengan melakukan keseluruhan 1,375 jatuhan pin.

Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh dari Wilayah Persekutuan meraih perak selepas mencatatkan 1,361 jatuhan pin manakala wakil Sabah, Emmanuel Fo melakukan 1,342 jatuhan pin untuk gangsa.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan