WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemulihan Lebih Cepat Dalam ‘Golden Hour: Kepentingan Rawatan Strok Tepat Pada Masanya

16/08/2024 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Strok merupakan punca kematian ketiga paling lazim di Malaysia pada 2023 dan dijangka menjadi punca kematian kedua menjelang tahun 2040, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jika tiada tindakan pencegahan diambil, satu daripada empat rakyat Malaysia berisiko diserang strok pada tahun yang sama.

Kementerian Kesihatan (KKM) menyokong ramalan DOSM dan menekankan bahawa strok sebagai punca utama kematian dalam Garis Panduan Amalan Klinikal 2020, dengan strok iskemia merupakan bentuk yang paling lazim.

Trend yang membimbangkan ini menekankan keperluan mendesak untuk strategi pencegahan dan rawatan yang berkesan.

Perunding Neurologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) Dr Kok Chin Yong berkata strok iskemia berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak terhalang, menghalang tisu otak daripada menerima oksigen dan nutrien, yang membawa kepada kematian sel dalam beberapa minit.

“Strok iskemia boleh mengakibatkan pelbagai kesan neurologi termasuk kelumpuhan otot seperti kelemahan wajah dan kebas, kesukaran pertuturan, gangguan penglihatan, ketidakseimbangan berjalan, pening, serta kekejangan otot jangka panjang yang mungkin mengganggu aktiviti harian.

"Strok iskemia boleh berpunca daripada pelbagai keadaan, seperti pengumpulan deposit lemak dalam arteri dan banyak faktor lain yang menggalakkan pembentukan bekuan darah," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Apabila strok berlaku, masa adalah penting dan setiap detik dikira, akronim 'BE FAST' ialah akronim yang dikenali secara meluas digunakan untuk membantu mengenal pasti simptom strok dengan cepat, tetapi sama pentingnya ialah konsep 'The Golden Hour'.

Dalam ‘The Golden Hour’ ini, intervensi perubatan yang tepat pada masanya boleh meningkatkan peluang pemulihan dengan ketara dan mengurangkan risiko hilang upaya atau kematian jangka panjang, memandangkan kira-kira dua juta sel otak mati setiap minit tanpa bekalan darah.

“Intervensi perubatan semasa 'The Golden Hour' melibatkan dua rawatan utama, trombolisis dan trombektomi mekanikal. Trombolisis melibatkan pemberian ubat untuk membubarkan bekuan darah yang lebih kecil di dalam otak dan mesti dijalankan dalam masa 4.5 jam dari permulaan strok.

"Rawatan trombolisis ini meningkatkan dengan ketara peluang memulihkan aliran darah ke otak dan mengurangkan risiko kerosakan kekal pada otak," jelas Dr Kok.

Trombektomi mekanikal akan dilakukan untuk pesakit strok yang mempunyai bekuan darah besar dengan menggunakan peranti untuk mengeluarkan bekuan secara fizikal, sama seperti angioplasti jantung.

Dalam prosedur ini, seorang radiologis neurointervensi akan menggunakan kerangka besi (stent retriever) untuk mengembang bekuan darah, membolehkan bekuan darah tersebut ditarik keluar bersama-sama dengan alat kateter aspirasi yang merupakan penyedut bagi mengeluarkan bekuan yang menghalang aliran darah.

Trombektomi mekanikal paling berkesan jika dilakukan dalam tempoh enam jam selepas serangan strok, tetapi masih boleh memberikan manfaat jika dilakukan dalam tempoh 24 jam dalam kes-kes tertentu," menurut kenyataan tersebut.

Pakar Perunding Radiologi dan Pakar Radiologi Intervensi Neuro di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr. Rozman Zakaria menjelaskan bahawa trombektomi mekanikal boleh memulihkan aliran darah dengan lebih menyeluruh kerana ia dapat mengeluarkan bekuan darah sepenuhnya dari otak, sekali gus meningkatkan hasil pemulihan.

Dr. Rozman juga menekankan bahawa jika pesakit strok tidak menerima rawatan dalam tempoh emas ‘The Golden Hour' inirisiko kerosakan otak yang teruk, kematian, dan kecacatan jangka panjang akan meningkat dengan ketara.

“Rawatan yang ditangguhkan akan mengurangkan keberkesanan intervensi, menjadikan pemulihan lebih mencabar dan sering menyebabkan kecacatan fizikal, kognitif, dan pertuturan yang kekal. Ini pasti akan menjejaskan kualiti hidup penghidap strok. sekali gus mempengaruhi kemandirian dan kesejahteraan keseluruhan mereka,” katanya.

Oleh itu,  beliau berkata intervensi perubatan segera dalam tempoh ‘The Golden Hour' ini  adalah penting untuk meningkatkan hasil rawatan dan mengurangkan kesan negatif tersebut.

“Kajian juga menunjukkan bahawa jika trombolisis dilakukan dalam tempoh ‘ The Golden Hour', ia meningkatkan kemungkinan pesakit strok mencapai kebebasan fungsi sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga bulan selepas strok, membolehkan mereka menguruskan aktiviti harian dengan kurang bantuan.”

"Sebaliknya, trombektomi mekanikal boleh meningkatkan tahap kebebasan fungsi dalam hampir 50 peratus pesakit strok dan mengurangkan simptom pasca-strok lebih 40 peratus pesakit," katanya.

Dr Kok juga menekankan bahawa kedua-dua rawatan bertujuan untuk membuka semula saluran darah yang tersumbat dan memulihkan aliran darah otak. Dalam beberapa kes, gabungan kedua-dua rawatan ini boleh digunakan untuk memaksimumkan potensi pemulihan.

Rawatan strok bukan sahaja mengenai intervensi segera semasa fasa akut strok tetapi juga melibatkan pemulihan jangka panjang untuk membantu pemulihan.

Dr Kok dan Dr Raz turut menekankan kepentingan meneruskan pemulihan selepas strok yang boleh meningkatkan kualiti hidup dan tahap kemandirian pesakit secara signifikan, mengurangkan keperluan bantuan dalam aktiviti harian serta memperbaiki keupayaan fizikal dan kognitif pesakit.

Selain kepentingan rawatan dan pemulihan segera, strategi rawatan yang lebih maju dan inovatif seperti rangsangan otak bukan invasif, contohnya rangsangan magnet transkranial berulang (rTMS), kini tersedia. Kaedah ini boleh digunakan untuk meningkatkan neuroplastisitas otak dan mempercepatkan trajektori pemulihan pesakit.

Dr. Kok berkata bahawa aktiviti fizikal yang kerap, pemakanan yang kaya dengan Omega-3, dan pengambilan ikan lima kali atau lebih dalam seminggu boleh mengurangkan risiko strok sebanyak 60 peratus.

Selain itu, menguruskan hipertensi dan diabetes adalah penting kerana kedua-duanya boleh menyebabkan pembentukan plak dalam saluran darah, yang berpotensi menyekat aliran darah ke otak dan membawa kepada gejala strok secara tiba-tiba.

Beliau juga memerhatikan peningkatan strok dalam kalangan golongan muda yang sering dikaitkan dengan gaya hidup yang tidak aktif, merokok, tekanan darah tinggi yang tidak didiagnosis dan apnea tidur obstruktif (OSA), yang biasa berlaku pada individu yang berlebihan berat badan dan sering tidak disedari.

Secara keseluruhannya, rawatan strok yang berkesan dalam tempoh ‘the golden hour’ boleh meningkatkan hasil pemulihan pesakit dengan ketara dan mengurangkan ketidakupayaan jangka panjang.

Pesakit mesti mendapatkan rawatan perubatan segera jika mereka mengalami gejala strok dan meneruskan rehabilitasi selepas rawatan untuk meningkatkan pemulihan.

“Setiap kes strok juga memerlukan pendekatan rawatan yang disesuaikan, jadi adalah amat penting bagi pesakit mendapatkan konsultasi dengan pakar perubatan profesional dan ahli fisioterapi yang dipercayai.

“Dengan memahami kepentingan rawatan yang tepat pada masanya dan rehabilitasi strok, pesakit dan penjaga boleh meningkatkan kualiti hidup serta keupayaan berdikari pesakit,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan