WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SSPA: Tunjukkan Mutu Perkhidmatan Kepada Rakyat Yang Lebih Baik - Fahmi Fadzil

16/08/2024 03:46 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Penjawat awam secara keseluruhan perlu mempamerkan mutu kerja dan perkhidmatan yang lebih baik selaras dengan ganjaran pelarasan gaji baharu menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan kerajaan hari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata selain pelarasan gaji, sistem baharu itu turut akan menggariskan Reformasi Perkhidmatan Awam itu untuk memastikan setiap perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan lebih berkualiti dan berintegriti.

“Reformasi (perkhidmatan awam) amat dinantikan rakyat, mutu dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh lagi di takuk lama. 

“Kenaikan gaji dan pangkat juga selepas ini berdasarkan mutu perkhidmatan yang diberikan dan pastinya kita akan lihat peningkatan pencapaian yang lebih baik dalam kalangan penjawat awam juga selepas ini,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pula sebanyak tujuh peratus.

Anwar berkata pelarasan gaji bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah sebanyak lapan peratus pada Fasa 1 dan tujuh peratus bagi Fasa 2, sementara untuk KPT adalah empat peratus (Fasa 1) dan tiga peratus (Fasa 2) 

Sementara itu Fahmi juga menyifatkan pengenalan SSPA yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) itu tepat pada masanya kerana pelarasan gaji yang terkandung dalam sistem baharu itu mengambil kira faktor peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata sudah 12 tahun gaji penjawat awam masih pada tahap sama dalam skim yang lama, dengan peningkatan harga barang meningkat dalam tempoh 10 tahun ini, sekali gus ia tidak mencerminkan gaji yang sesuai dengan keadaan semasa.

“Saya percaya dengan skim SSPA ini, kita akan membantu penjawat awam dan insya-Allah akan ada limpahan (pendapatan) untuk mereka. Cara (kenaikan gaji secara berfasa) yang diusahakan kerajaan cukup tertib dan berhemah untuk mengelak peningkatan harga barang secara keterlaluan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan