WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anak Syarikat Bumi Armada Raih Kemudahan US$400 Juta Bagi Biayai Semula Sukuk RM1.5 Bilion

16/08/2024 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Bumi Armada Bhd (Bumi Armada) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Bumi Armada Holdings Labuan Ltd (BAHLL) memperoleh kemudahan pinjaman bersindiket dengan tempoh enam tahun pada jumlah prinsipal agregat sehingga US$400 juta bagi membiayai semula sukuk bernilai RM1.5 bilion.

Menurut syarikat itu, kemudahan berkenaan terdiri daripada pinjaman berjangka bersindiket konvensional sebanyak US$135 juta dan kemudahan Murabahah komoditi bersindiket Islam sebanyak US$265 juta.

“Hasilnya akan digunakan antara lain ke arah penebusan penuh sukuk serta liabiliti lindung nilai mata wang silang dan kadar faedah yang berkaitan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Kemudahan itu, yang dijamin oleh Bumi Armada, diatur oleh Maybank Investment Bank Bhd, RHB Bank (L) Ltd, AmInvestment Bank Bhd dan Affin Islamic Bank Bhd sebagai pengatur utama yang dimandatkan dan disediakan kepada BAHLL oleh lapan bank yang mengambil bahagian.

Pada 2014, program terbitan sukuk tanpa penarafan telah diwujudkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Bumi Armada Capital Malaysia Sdn Bhd (BACM), melibatkan terbitan sukuk nilai nominal RM1.5 bilion oleh BACM.

Sukuk tersebut mempunyai tarikh penebusan akhir pada 4 Sept 2024.

Pada 15 Ogos 2024, BAHLL telah menandatangani dokumentasi kemudahan yang berkaitan dengan pengatur dan pemberi pembiayaan.

“Penggunaan kemudahan tersebut dan penebusan sukuk, dijangka sebelum 4 Sept 2024. Bumi Armada memaklumkan kemudahan tersebut mendapat permintaan melebihi jumlah yang ditawarkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan