WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ACL Elite: JDT Bakal Bertarung Dengan Anak Buah Pan Gon

16/08/2024 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Juara 10 kali berturut-turut Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membuat perhitungan dengan juara Liga K1 Korea 2023 Ulsan HD FC yang dibimbing bekas pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite 2024/25.

Menerusi majlis undian dijalankan di ibu negara hari ini, perlawanan liga sebelah Asia Timur itu bakal dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, sekali gus menyaksikan Pan Gon kembali ke Malaysia selepas meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki kebangsaan bulan lepas.

Selain Ulsan HD FC, JDT juga akan menjadi hos kepada juara Thai League 1 Buriram United dan satu lagi pasukan dari Korea Selatan iaitu Pohang Steelers serta Shanghai Shenhua FC (China).

Skuad Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio itu juga perlu berkunjung ke tempat lawan menentang juara bertahan Liga Super China, Shanghai Port FC, juara Liga A-League Men dari Australia, Central Coast Mariners FC serta Gwangju FC (Korea Selatan).

Bagaimanapun, JDT tidak perlu bertemu empat lagi pasukan lain berada dalam liga sebelah Asia Timur yang melibatkan tiga pasukan Jepun iaitu naib juara ACL musim lepas Yokohama F. Marinos, Vissel Kobe serta Kawasaki Frontale dan satu lagi pasukan dari China, Shandong Taishan FC.

Saingan ACL Elite yang dahulunya dikenali ACL dijadualkan bermula 16 Sept hingga 19 Feb 2025 menggunakan format ‘sistem Swiss’ yang serupa dengan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2024/25.

Mengikut format itu, 24 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Asia Barat dan Asia Timur dengan setiap pasukan dalam liga masing-masing bakal berdepan lapan lawan berbeza melibatkan empat perlawanan di laman sendiri dan empat lagi aksi di tempat lawan.

Aksi liga sebelah Asia Barat pula menampilkan juara ACL 2023/24 dari Emiriah Arab Bersatu Al Ain FC dan satu lagi kelab dari negara sama Al-Wasl FC diikuti tiga pasukan dari Arab Saudi iaitu Al-Hilal SFC, Al-Ahli Saudi FC dan Al-Nassr Club; tiga dari Qatar, Al-Gharafa SC, Al-Sadd SC dan Al-Rayyan SC, dua dari Iran Persepolis FC dan Esteghlal FC selain Pakhtakor FC (Uzbekistan) dan Al-Shorta (Iraq).

Lapan pasukan teratas dari setiap liga mara ke pusingan 16, dijadualkan Mac tahun depan, manakala saingan seterusnya hingga ke final bakal dijalankan secara berpusat di Arab Saudi pada 25 April-4 Mei 2025.

Saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25 pula menyaksikan naib juara Liga Super 2023 Selangor FC diundi dalam Kumpulan H bersama juara dua kali ACL dari Korea Selatan Jeonbuk Hyundai Motors FC diikuti pasukan dari Thailand Muangthong United dan wakil Filipina Dynamic Herb Cebu FC.

Kumpulan A hingga D menyaksikan saingan pasukan Asia Barat, manakala Kumpulan E hingga H pula dibarisi pasukan dari Asia Timur.

Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan 16 dijadualkan berlangsung pada Feb depan, manakala final pula pada 17 Mei 2025.

ACL2 merupakan penjenamaan semula bagi Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bermula musim 2024/25 dan kekal sebagai tingkat kedua bagi saingan pentas bola sepak Asia.

 

Berikut merupakan senarai penuh peringkat kumpulan ACL2 2024/25:

 

Asia Barat

--------------

Kumpulan A: Al Wakrah SC (QAT), Tractor FC (IRN), Mohun Bagan SG (IND), FC Ravshan (TJK)

 

Kumpulan B: Al Taawoun FC (KSA), Air Force Club (IRQ), Al Khaldiya SC (BHR), Altyn  Asyr (TKM)

 

Kumpulan C: Sepahan FC (IRN), Sharjah FC (UAE), FC Istiklol (TJK), Al Wehdat (JOR)

 

Kumpulan D: Shahab Al Ahli (UAE), PFC Nasaf (UZB), Al Hussein (JOR), Kuwait SC (KUW)

 

Asia Timur

---------------

Kumpulan E: Sanfrecce Hiroshima (JPN), Sydney FC (AUS), Kaya FC-Iloilo (PHI), Eastern (HKG)

 

Kumpulan F: Zheijang FC (CHN), Port FC (THA), Lion City Sailors (SGP), Persib Bandung (IDN)

 

Kumpulan G: Bangkok United (THA), Nam Dinh FC (VIE), Lee Man (HKG), Tampines Rovers (SGP)

 

Kumpulan H: Jeonbuk Hyundai Motors FC (KOR), Selangor FC (MAS), Muangthong United (THA), Dynamic Herb Cebu FC (PHI)

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan