WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Usaha Tangga Kejayaan Jadi Pegangan Mohamad Faris-Syed Adrees Untuk Raih Emas

17/08/2024 11:44 AM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- ‘Usaha tangga kejayaan’ menjadi pegangan Mohamad Faris Zainal Abidin-Syed Adrees Darwiz Syed Zunizam dalam berusaha keras hingga meraih pingat emas buat kontinjen Perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menerusi acara berpasangan lelaki tenpin boling, semalam. 

Syed Adrees Darwiz, 20, yang kelihatan sebak sebaik upacara penyampaian pingat berlangsung berkata segala penat lelah beliau yang mula ‘mengabdikan diri’ kepada sukan berkenaan seawal usia 10 tahun akhirnya terbalas di pentas berprestij berkenaan. 

“Saya dan Mohamad Faris baru kali pertama beraksi di pentas SUKMA, jadi memang sangat terharu dengan kemenangan ini. Pingat ini sangat bermakna sebab membuktikan saya layak main (tenpin) boling. 

“(Selama) 10 tahun itu memang bawah pasukan Perak cuma dari (peringkat) pelapis dan naik hingga sekarang, namun saya tidak berpeluang pergi ke SUKMA sehingga sekarang ini jadi jurulatih memang banyak membantu kami,” katanya kepada pemberita di Megalanes Sarawak malam tadi. 

Sementara itu, bekas atlet kebangsaan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi yang membimbing skuad tenpin boling Perak mengingatkan anak buahnya supaya tidak berasa ‘kerdil’ walaupun tiada seorang dalam kalangan mereka merupakan pemain kebangsaan. 

Syaidatul Afifah yang sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak pada setiap Jumaat hingga Isnin berkata tiada istilah penampilan kali pertama tidak mampu membuat kejutan jika seseorang itu mempunyai semangat pantang menyerah. 

“Saya cakap tak ada istilah kali pertama dalam SUKMA sebab ia berdasarkan kepada situasi dan prestasi semasa kita. Jadi untuk mereka, memang saya kata (hari ini) memang hari mereka walaupun (situasi) agak bergelut. 

“Kita bukan pasukan kegemaran pun (tapi) nampak mereka (Mohamad Faris-Syed Adrees Darwiz) memang berkomunikasi, memiliki semangat juang tinggi, bijak dan cepat baca lorong. Itu sebenarnya hal yang paling susah untuk dilakukan seorang pemain boling,” katanya. 

Sebagai rekod ini merupakan kemenangan pingat emas kontinjen lelaki pasukan Perak selepas 18 tahun dengan kali terakhir pada SUKMA 2014 menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, juga menerusi acara berpasangan lelaki. 

Mohamad Faris-Syed Adrees Darwiz melakukan 2,479 jatuhan pin untuk menggenggam pingat emas, manakala wakil Melaka, Darryl Ariel Punzalan Soo-Muhammad Noor Hidayat Muhamad Nazri meraih pingat perak dengan perbezaan 20 jatuhan pin.

Gandingan Mohammad Zuhair Zailani-Muhammad Hafiz Darwisy Azhlan dari Pulau Pinang pula memperoleh gangsa dengan 2,389 jatuhan pin. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan