WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program MADANI Rakyat Zon Selatan Ketengahkan Batik Johor 

17/08/2024 03:47 PM

JOHOR BAHRU, 17Ogos (Bernama) -- Apabila berbicara tentang batik, lazimnya cukup sinonim dengan Pantai Timur, namun tidak ramai yang mengetahui bahawa Johor juga mempunyai batik tersendiri yang mengetengahkan corak melambangkan indentiti negeri Harimau Selatan itu.

Jika batik di Pantai Timur lebih banyak menampilkan motif organik berunsurkan alam semula jadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan dan haiwan, batik Johor pula menonjolkan corak seperti lada hitam, nanas, gambus dan buah tampoi.

Seorang pengusaha batik Maimunah Yaacob, 56, berkata kelainan motif batik Johor ini memberikan alternatif kepada peminat dalam menggayakan busana yang tampak lebih moden dan versatil.

"Selain mengetengahkan motif yang melambangkan indentiti Johor, saya juga mempelbagaikan motif batik dihasilkan mengikut kehendak pelanggan dan disesuaikan dengan produk (kraf) yang dihasilkan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 yang diadakan di Dataran UTM, Skudai di sini hari ini.

Lazimnya batik Johor dihasilkan dengan menggunakan teknik blok iaitu kepingan tembaga yang dibentuk mengikut acuan atau menggunakan tumbuhan dalam penghasilan motif itu, manakala warna digunakan seiring dengan trend fesyen semasa bagi menepati kehendak pelanggan.

Beliau yang juga usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan telah berkecimpung hampir 30 tahun dalam perusahaan seni kreatif itu berkata setakat ini batik Johor mendapat permintaan sangat menggalakkan, malah turut menerima tempahan daripada pelanggan luar negara. 

Anak jati Johor yang juga pengasas butik Ranorm Batik Creation di Kota Tinggi berkata beliau juga menjual batik Johor kepada usahawan KEJORA yang lain untuk menghasilkan pelbagai produk kraf  seperti, beg tangan, beg bimbit dan sebagainya. 

Program MADANI Rakyat Zon Selatan menjadi ruang bagi kerajaan memaklumkan serta menguar-uarkan pencapaian serta manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan komitmen berterusan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan