WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Santapan Selatan Di PMR Johor Terima Sambutan Luar Jangka

16/08/2024 04:41 PM

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Memasuki hari kedua Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan, sambutan orang ramai terhadap gerai-gerai di “Santapan Selatan” yang menyajikan makanan tradisi amat menggalakkan sehingga kebanyakan peniaga terpaksa menambah stok bahan mentah.

Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Aizul Fidy Kamarudin berkata sebanyak 16 peniaga dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang mengambil bahagian dalam program itu memberitahu mereka terpaksa menggunakan stok bahan yang sepatutnya digunakan esok.

“Sejak semalam lagi, beberapa peniaga tempatan telah memberitahu bahawa makanan di gerai mereka habis tidak sampai waktu petang sehingga mereka terpaksa menambah bekalan bahan mentah.

“Hari ini, jumlah pengunjung bertambah ramai apabila penduduk negeri Johor khasnya mengambil kesempatan untuk datang ke program ini berikutan cuti hujung minggu menyebabkan peniaga tidak menang tangan melayani pelanggan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Aizul Fidy berkata program anjuran KUSKOP bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan itu dilaksanakan bagi membantu usahawan tempatan sekali gus mengetengahkan makanan tradisi tiga negeri berkenaan kepada pengunjung seperti mi bandung, burasak, laksa Johor, kuih keria gula melaka, asam pedas dan rendang maman.

Sementara itu, seorang peniaga yang menjual nasi berlaukkan daging salai Muzaimah Mohd Zin, 31,  tidak menyangka sambutan yang diberikan oleh pelanggan sangat menggalakkan sehingga dia terpaksa mendapat bantuan rakannya untuk menghantar bahan mentah tambahan dari Negeri Sembilan.

“Kami bawa bekalan cukup-cukup untuk tiga hari, semalam sahaja kami sudah perlu guna stok hari ini dan perlu menghubungi rakan di Negeri Sembilan untuk menghantar stok lagi kerana diberitahu bahawa kehadiran akan bertambah dua hingga tiga kali ganda terutama esok.

“Produk salai kami menggunakan resipi turun-temurun menggunakan sabut kelapa untuk menyalai, selain santan segar sebab kita mahu beri rasa asli salai dari Negeri Sembilan,” katanya.

Muzaimah berkata inisiatif KUSKOP dalam menyediakan tapak percuma berserta cold storage (penyimpanan sejuk) kepada peniaga memberi kelegaan buat mereka, sekali gus mengurangkan modal yang ditanggung.

Peniaga otak-otak Noormala Ismail, 50, dari Melaka juga berkongsi keterujaan dengan sambutan yang ditunjukkan orang ramai terhadap ruang Santapan Selatan sehingga jualan mereka laris bak pisang goreng panas.

“Berbaloi datang dari Melaka ke Johor. Tidak sangka sambutan orang ramai sebegini sebab sebelum ini risau juga makanan yang dijual tidak habis. Kemudahan pun terbaik sebab peniaga diberi ruang memasak di bahagian belakang gerai dan langkah ini memudahkan kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan