WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Putera Mahkota Brunei Tiba Untuk Lawatan Rasmi Ke Malaysia

17/08/2024 01:07 PM

SUBANG JAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah tiba di sini untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga 21 Ogos.

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 11.50 pagi, diiringi isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Turut mengiringi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Datuk Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad serta pegawai-pegawai kanan dari negara itu.

Ketibaan Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan delegasi Brunei itu disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Putera Mahkota Brunei kemudian berjalan melepasi kawalan kehormatan setempat terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Nur Ahmad Zaim Zahari.

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, disusuli Majlis Santapan bagi meraikan delegasi Brunei.

Putera Mahkota Brunei turut dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Pada 2023, Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak US$2.04 bilion (RM9.31 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan