WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kebolehpasaran Lebih 90 Peratus, Lepasan ILJTM Laris - Sim

17/08/2024 04:18 PM

BANGI, 17 Ogos (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran lulusan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) berada pada tahap 92.2 peratus pada 2023 sekali gus membuktikan keyakinan tinggi industri terhadap produk institusi itu. 

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kadar kebolehpasaran tinggi itu menunjukkan keyakinan industri terhadap kompetensi dan kemahiran siswazah serta program yang ditawarkan ILJTM amat relevan dan berkesan dalam memenuhi keperluan industri

Dalam tempoh itu, tiga ILJTM mencatatkan peratusan kebolehpasaran tertinggi iaitu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil dengan 100 peratus, ILP Pasir Gudang (98.8 peratus) dan ILP Mersing (97.7 peratus).

“Andalah (graduan ILJTM) pendukung masa depan ekonomi negara sebab pelaburan tunggu dan perlukan pekerja mahir.

“Andalah yang bakal menjadi tenaga kerja di syarikat berteknologi tinggi. Andalah bakal menggerakkan pelaburan teknologi dan bernilai tinggi di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen ILJTM ke-27 di sini hari ini.

Sim berkata satu daripada faktor yang menyumbang kepada kebolehpasaran graduan yang tinggi ialah kerjasama strategik yang terjalin antara ILJTM dengan pihak industri. 

Berdasarkan rekod, sebanyak 147 kerjasama telah dimeterai dalam bentuk memorandum perjanjian, memorandum persefahaman, memorandum kerjasama dan nota kerjasama dengan pihak industri, institusi latihan serta agensi dan jabatan kerajaan. 

“Terdapat juga graduan yang telah mendapat pekerjaan sebelum tamat latihan,” katanya. 

Beliau berkata siswazah ILJTM perlu menjadi duta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menggalakkan lagi golongan muda untuk menyertai bidang berkenaan. 

“Golongan muda perlu tampil ikuti kursus TVET kerana ia masa depan ekonomi Malaysia,” katanya.

Pada istiadat itu, sebanyak 6,954 graduan daripada ILJTM di seluruh negara berjaya menamatkan pengajian dan layak dianugerahkan Diploma Lanjutan, Diploma dan Sijil. 

Graduan berkenaan terdiri daripada lulusan program TVET dalam 10 bidang kluster TVET antaranya Elektronik, Kimpalan, Pembuatan, Percetakan, Pengangkutan, Pengeluaran Produk, Penyelenggaraan Elektrik dan Perkhidmatan Kejuruteraan.

Sehingga kini, ILJTM berjaya mengeluarkan 232,096 siswazah sepenuh masa yang merupakan pekerja berkemahiran yang menyumbang kepada pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan