WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program Maritim Malaysia Jiwa Merdeka: Deruman Helikopter Tarik 5,000 Pengunjung

17/08/2024 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Seramai 5,000 pengunjung hadir menyaksikan deruman aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AS365 N3 Dauphin yang melakukan penerbangan flying pass sebagai gimik pada Program Maritim Malaysia Jiwa Merdeka, yang diadakan di perkarangan IOI City Mall, Putrajaya hari ini.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata gimik berkenaan, sememangnya bertujuan menarik perhatian orang awam khususnya pengunjung kompleks beli-belah itu bagi memeriahkan program hari ini.

Beliau berkata program itu merupakan satu usaha Maritim Malaysia dalam menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.

“Bukan itu sahaja, program ini juga merupakan inisiatif strategik yang dirangka pihak kami untuk mendekati komuniti bandar, bagi memperkenalkan peranan dan tanggungjawab agensi ini dalam menjaga keselamatan Zon Maritim Malaysia.

“Program ini juga menjadi platform kepada masyarakat bagi memahami tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara keseluruhan, dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sama ada di darat mahupun di perairan negara,” katanya ketika merasmikan program itu.

“Maritim Malaysia amat menghargai kerjasama semua pihak bagi menyalurkan maklumat yang berlaku di perairan negara dalam usaha melindungi dan mengekalkan keselamatan negara,” katanya.

Pada program berkenaan, gimik kehadiran Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) yang berpakaian lengkap taktikal bagi mengiringi tetamu kehormat ke reruai Maritim Malaysia di aras G, IOI City Mall. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan