WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Solarvest, Agmo Jalin Pakatan Strategik Bangun Aplikasi Digital Sektor Tenaga Bersih

20/08/2024 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Subsidiari Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, yang merupakan syarikat pembekal tenaga bersih telah membentuk usaha sama (JV) dengan unit pakar penyelesaian digital, Agmo Holdings Bhd iaitu Agmo Capital Sdn Bhd untuk membangunkan aplikasi digital bagi sektor tenaga mesra alam.

Syarikat JV itu, yang akan dimiliki 70 peratus oleh Solarvest dan 30 peratus oleh Agmo, menyasarkan pembangunan aplikasi yang akan meningkatkan kecekapan, kebolehskalaan dan pengalaman pengguna merentasi landskap tenaga bersih. 

“Inisiatif ini ditetapkan untuk mendigitalkan pelbagai penyelesaian tenaga bersih, bermula dengan penambahbaikan kepada penawaran sedia ada Solarvest seperti penyelesaian Vestech EcoHomes, ekosistem pengecasan kenderaan elektrik (EV) Powerbee dan pengurusan Pensijilan Tenaga Boleh Baharu,” kata mereka melalui satu kenyataan bersama.

Pemeteraian JV itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Ia dibuat sempena dengan Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-6 2024 anjuran Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holdings, Davis Chong Chun Shiong berkata aplikasi tersebut akan merevolusikan cara penyelesaian tenaga bersih diurus dan dipertingkatkan.

“Perkongsian ini menyerlahkan komitmen kami untuk memajukan tenaga boleh baharu selain mempamerkan pendekatan proaktif kami bagi memenuhi keperluan industri yang berkembang.

“Secara bersama, kami menerajui transformasi digital yang akan meningkatkan kebolehskalaan dan impak global dalam penyelesaian tenaga lestari,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings, Tan Aik Keong menekankan potensi kesan usaha niaga itu.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Solarvest, agar boleh memanfaatkan kepakaran teknologi kami dalam memacu revolusi tenaga bersih ke hadapan.

“Inisiatif inovatif ini menunjukkan komitmen kami terhadap inovasi industri, menggabungkan kepakaran tenaga bersih Solarvest dengan penyelesaian digital termaju kami bagi mencipta platform yang komprehensif untuk mengurus dan mengakses tenaga bersih,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan