WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pembantu Kedai Makan Alami Kemurungan Dilaporkan Hilang

24/08/2024 10:49 AM

SEREMBAN, 24 Ogos (Bernama) -- Seorang pembantu kedai makan yang dipercayai mempunyai masalah kemurungan dilaporkan hilang selepas beberapa hari gagal dikesan dan tidak pulang ke rumahnya di Gemas.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata polis menerima laporan kehilangan lelaki itu dikenali sebagai Mohd Farid Zulkafli, 36, kira-kira 4 petang semalam.

"Laporan polis dibuat seorang perempuan memberitahu adik lelakinya keluar dari rumah pada 6 pagi Rabu lepas di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas untuk bekerja.

"Lelaki itu masih belum pulang sehingga semalam dan juga tidak pulang ke rumah ibunya di Felda Serting Hilir, Jempol," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai telefon bimbit dan kenderaan, kali terakhir ditemui majikannya di Taman Sri Rompin, Jempol dan memberitahu ingin pulang ke kampung di Felda Serting Hilir.

Mohd Farid yang mempunyai ketinggian kira-kira 156 sentimeter, berbadan kurus dan berambut pendek hitam, memakai baju T berwarna biru bertulis Barisan Nasional serta berseluar slek hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Mohd Rodzi Md Saad di talian 07-9481221 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan