BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RM2.5 Juta Bagi Tiga Projek Kampung Angkat MADANI Di Segamat, Johor

24/08/2024 02:50 PM

SEGAMAT, 24 Ogos (Bernama) -- Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi pelaksanaan tiga projek di Kampung Tekam, Pogoh 3, Segamat, Johor, yang dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI MOSTI 2024.

Menteri berkaitan Chang Lih Kang berkata tiga projek tersebut melibatkan pembangunan telaga tiub bersama panel tenaga solar oleh Agensi Angkasa Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia, lampu jalan berasaskan tenaga boleh baharu oleh Nano Malaysia Berhad dan jeti terapung biokomposit oleh Agensi Nuklear Malaysia. 

"Pembangunan telaga tiub bersama panel tenaga solar telah siap dibina di kawasan masjid jamek kampung ini, berfungsi sebagai alternatif kepada penggunaan tenaga elektrik dan ia dapat mengurangkan kos dan seterusnya mengoptimumkan penggunaan telaga tiub tanpa dikenakan sebarang kos elektrik tambahan terhadap penduduk.

"Dua lagi projek iaitu lampu jalan berasaskan tenaga boleh baharu dan jeti terapung biokomposit akan dimulakan pada tahun ini.

"Ini adalah satu usaha yang baik untuk kita gabungkan sains, teknologi dan inovasi dengan kehidupan seharian rakyat, jadi saya rasa gembira dapat melaksanakan program di kampung Tekam ini dan semoga projek-projek ini boleh membantu komuniti masyarakat kampung Tekam ini dalam memudahkan kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI MOSTI 2024 di Masjid Jamek Kampung Tekam Pogoh 3, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan Malaysia MADANI bagi merapatkan jurang kemudahan asas di luar bandar dengan bandar, menumpukan pada melengkapkan kemudahan asas termasuk bekalan air dan elektrik, jalan dan lampu jalan, perkhidmatan masyarakat dan akses internet di kawasan desa dan kampung terpinggir yang masih di bawah capaian liputan 50 peratus.

Chang berkata usaha itu selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2020 yang menetapkan visi untuk mewujudkan masyarakat yang mampan, inklusif dan saintifik ke arah negara berteknologi tinggi.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata sebanyak 42 kampung di seluruh negara terpilih sebagai Kampung Angkat Madani membabitkan peruntukan RM100 juta.

Menurutnya, sehingga 10 Julai lepas, Kementerian Kewangan telah menyalurkan RM86.3 juta kepada agensi terlibat meliputi 35 kampung dan setiap kampung menerima agihan peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan