BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025: MITRA Mohon Peruntukan RM300 Juta Bagi Pembangunan Masyarakat India

24/08/2024 04:48 PM

PUTRAJAYA, 24 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) mencadangkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi tujuan pembangunan masyarakat India melalui Belanjawan 2025. 

Pengerusinya P. Prabakaran berkata walaupun kerajaan telah menyalurkan RM100 juta bagi tujuan itu kepada MITRA tahun ini, jumlah berkenaan tidak mencukupi memandangkan jawatankuasa itu perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM50 juta untuk menampung komitmen membantu 100,000 individu daripada golongan B40.

"Komitmen sahaja hampir separuh (daripada peruntukan RM100 juta). Dengan baki RM50 juta, tidak cukup untuk kita melakukan perubahan atau transformasi dan menaikkan ekuiti masyarakat India terutama golongan belia.

"Jika boleh diberikan peruntukan lebih besar maka lebih banyak program dan inisiatif yang boleh kita laksanakan," katanya pada sidang media selepas hadir pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2025: Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di sini hari ini. 

Mengulas mengenai libat urus itu, Prabakaran berkata majlis berkenaan diadakan bagi memberi peluang kepada kira-kira 100 pemimpin dan wakil masyarakat India dari seluruh negara untuk memberi pandangan mengenai perangkaan Belanjawan 2025.

Beliau berkata pelbagai perkara telah dibincangkan antaranya keperluan untuk memastikan Belanjawan 2025 dapat memantapkan pelaksanaan inisiatif oleh MITRA, menaik taraf sekolah bantuan kerjaaan serta menyediakan lebih peluang perniagaan bagi manfaat masyarakat India.

"Mitra akan bekerjasama dengan setiap agensi kerajaan dalam usaha memastikan inisiatif yang sedia ada dapat disalurkan kepada masyarakat India yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan