BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Buru Suspek Tikam Orang Awam Hingga Mati Di Jerman

24/08/2024 06:18 PM

SOLINGEN (Jerman), 24 Ogos (Bernama-dpa) -- Polis pada Sabtu meneruskan usaha mengesan individu yang bertanggungjawab menyerang orang ramai dengan pisau semasa sambutan ulang tahun ke-650 bandar Solingen pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut pihak berkuasa, serangan kira-kira 9.45 malam itu mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh – seorang wanita dan dua lelaki – manakala lapan lagi cedera, lima daripadanya parah.

Tiada maklumat diberikan mengenai identiti mangsa yang cedera atau keadaan semasa mereka dalam kejadian di sebuah pasar di pusat bandar di mana pentas telah didirikan untuk acara Festival Kepelbagaian. 

Polis berkata penyerang itu masih bebas setakat awal pagi Sabtu. Menurut seorang wartawan dpa, unit khas polis sedang mengesan suspek di sekitar bandar.

Polis memberi amaran kepada penduduk yang melihat sebarang kejadian mencurigakan agar tidak bertindak sendiri tetapi menghubungi nombor kecemasan polis.

"Kami masih tidak mempunyai petunjuk mengenai keberadaannya," kata jurucakap polis. Tiada juga perincian mengenai suspek diberikan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri North Rhine Westphalia, penyerang berjaya melarikan diri di tengah-tengah situasi panik yang tercetus selepas insiden tikaman itu. 

North Rhine Westphalia ialah negeri paling ramai penduduk di Jerman.

"Saya rasa itulah masalah besar kami. Kami belum mempunyai banyak maklumat tentang pelaku," kata Alexander Kresta, jurucakap polis Wuppertal.

-- BERNAMA-dpa

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan