WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Memastikan Profesional Perakaunan Terus Relevan, Cabaran Kepada Industri - MIA

26/08/2024 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Menarik, mengekal dan memastikan profesional perakaunan terus relevan adalah cabaran utama yang dihadapi profesion itu kata Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) Datuk Seri Mohamad Zabidi Ahmad.

Beliau berkata semua cabaran itu berkait rapat, kerana mengukuhkan kerelavanan dan mengekalkan tarikan kepada profesion itu, akan dapat menarik minat dan mengekalkan pekerja berkemahiran untuk terus berada dalam bidang berkaitan perakaunan.

“Di bawah strategi kerelevanan masa hadapan, MIA telah menggerakkan beberapa inisiatif seperti membangunkan pekerja-pekerja berkemahiran pada masa hadapan yang bersesuaian. Pekerja berkemahiran dalam bidang perakaunan ini perlu sesuai dengan pasaran kerja masa kini yang berkembang dan ditentukan oleh perkara-perkara seperti peraturan, geopolitik, kelestarian dan pendigitalan.

"Menjajarkan pendidikan perakaunan dengan piawaian antarabangsa akan membantu melahirkan pekerja berkemahiran berorientasikan pasaran.

“Lembaga Pendidikan MIA ditugaskan untuk mewujudkan keperluan pendidikan profesional perakaunan dan memastikan ia kekal konsisten dengan piawaian antarabangsa seperti Piawaian Pendidikan Antarabangsa IFAC (IES) seperti dikehendaki oleh Lembaga Piawaian Pendidikan Perakaunan Antarabangsa (IAESB),’’ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Lain-lain strategi berkaitan kemahiran yang diterapkan MIA termasuk memahami keperluan pasaran selain menutup jurang dalam menghasilkan profesional yang sudah bersedia untuk memasuki pasaran, mempelbagaikan kumpulan pekerja berkemahiran dalam bidang perakaunan, memupuk etika sebagai asas kepada keyakinan, berkomunikasi dengan perubahan dan peranan bidang kerjaya ini, selain menyediakan profesional perakaunan untuk menerima kelestarian dan tranformasi digital. 

Mohamed berkata selaras dengan sokongan strategik dan inisiatif, MIA komited untuk mencapai kecemerlangan aspek pendidikan profesional berterusan (CPE) kepada hampir 40,000 ahlinya. 

"Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, kami telah berjaya menganjurkan kira-kira acara 1,000 CPE yang memberi manfaat kepada 40,000 ahli dan bukan ahli.

“Kemuncak CPE ini adalah Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2024 yang menumpukan kepada kelestarian dan profesion, dan menarik minat hampir 3,800 delegasi dalam tempoh masa dua hari,’’ katanya. 

MIA menumpukan kepada transformasi digital dan kelestarian untuk mengukuhkan masa depan profesion ini. Penerimaan keupayaan digital yang dipandu oleh Pelan Tindakan Teknologi Digital MIA yang dilancarkan pada 2018, mendapat pujian Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) sebagai rangka transformasi digital bidang kerjaya ini.

Peristiwa penting bagi keupayaan digital MIA ini adalah penganjuran Digital Technology Adoption Awards 2024 yang buat julung kalinya diadakan bagi profesion perakaunan global dan berhasrat mengiktiraf kecemerlangan dalam penggunaan teknlogi digital terutamanya kepada profesionalnya.   

Bagi membantu mengekalkan kelestarian, Pelan Tindakan MIA bagi Profesion Perakaunan pada 11 Jun lepas yangf dirangka bagi profesion ini mengamalkan pendekatan ESG (Alam Sekitar, sosial dan Tadbir Urus) dan menyokong agenda kelestarian nasional.

“Secara holistiknya Pelan Tindakan ini bertujuan bagi membolehkan akauntan profesional kekal relevan di masa hadapan dan berdaya tahan dalam memacu kelestarian.

“Pelan Tindakan ini adalah bagi memperkasa para akauntan untuk menyelaraskan amalan mereka bagi mencapai objektif seperti mewujudkan aspirasi kepada akauntan di negara ini berkaitan dengan kelestarian lestari, menganalisis cabaran utama yang dihadapi profesion ini di Malaysia berdasarkan landskap domestik dan global selain menempatkan akauntan kepada ruang kelestarian,” katanya.   

Mohamed berkata MIA komited untuk membina negara selari dengan peranannya sebagai pengawal selia dan pemaju bidang perakauan di Malaysia, seperti termaktub dalam Akta Akauntan 1967.

Ini termasuk mengukuhkan kerjasama MIA dengan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan anti pengubahan wang haram dan memerangi pembiayaan keganasan, memerangi rasuah selain jenayah kewangan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).   

Beliau mengakui adalah penting bagi institut itu untuk terlibat dan berkerjasama dengan badan perakaunan antarabangsa seperti IFAC dalam usaha mengukuhkan pengiktirafan antarabangsa terhadapnya, pengaruh, dan kedudukannya dalam profesion ini.

Sementara itu Presiden IFAC Asma Resmouki berkata kerjasama antara IFAC dan MIA amat penting dalam melonjakkan bidang-bidang utama dalam profesion perakaunan seperti kewangan Islam dan inisiatif kelestarian. 

“Perkongsian antara IFAC dan MIA akan terus berkembang bagi mengukuhkan agenda ESG, meningkatkan kewangan Islam, menggalak inovasi digital selain membina kapasiti dan pembangunan profesional,’’ katanya.   

Beliau berkata kerjasama antara IFAC dengan MIA akan terus menyumbang kepada kemajuan profesion perakaunan di negara ini dan ke peringkat seterusnya, untuk bertahun-tahun akan datang.

Menyentuh mengenai Persidangan Akauntan 2024 pada Jun ini yang mengumpulkan 80 penceramah utama industri, Asma berkata tema dan perbincangan adalah bagi mempromosi dan memperkukuh kelestarian dan laporan ESG.

"Saya yakin persidangan ini akan memacu Malaysia ke arah amalan inovasi dan teknologi yang lebih meluas, relevan dan kompetitif di peringkat global, dan lebih kukuh sebagai pemimpin amalan perniagaan yang lestari.   

"Wawasan dan kerjasama yang dibentuk pada persidangan itu akan memperkasa profesional perakaunan untuk memacu cabaran masa hadapan secara berkesan dan menyumbang kepada transisi Malaysia untuk menjadi ekonomi rendah karbon,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan