WILAYAH - UTARA > BERITA

Empangan Di Kedah Buat Simpanan Air Maksimum Hadapi Kemarau Panjang Tahun Depan

26/08/2024 03:23 PM

ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) -- Semua empangan sedia ada di Kedah akan membuat simpanan air secara maksimum bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih panjang pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air serta Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff Zakaria berkata pelepasan air dari empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian, akan dikawal mengikut keperluan semasa.

“Pelepasan air ini dibuat mengikut prosedur operasi standard yang tertentu, ia tidak dilepaskan begitu sahaja,” katanya pada sesi pertanyaan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Hayati Othman (PN-Tokai) berkenaan persediaan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dalam menghadapi kemarau panjang pada tahun hadapan seperti yang diramal Jabatan Meteorologi Malaysia.

Mohamad Yusoff berkata LSANK mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi kegunaan domestik dan pertanian di Kedah.

Beliau berkata bagi pelan jangka pendek, LSANK akan mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) untuk Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan dan tahun ini ia telah dilaksanakan pada 29 hingga 31 Julai.

“Pelaksanaan OPA itu melibatkan kawasan tadahan Empangan Muda dan Empangan Pedu dan operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan, bagi meningkatkan kapasiti simpanan air di empangan,” katanya.

Bagi pelan jangka panjang pula, Mohamad Yusoff berkata LSANK telah memohon kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), untuk pembangunan kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Terdapat 27 tapak di Lembangan Sungai Muda yang dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan. Melalui RMK12, terdapat tiga cadangan pembangunan kolam TAPS di sepanjang Lembangan Sungai Muda dan satu di Lembangan Sungai Kedah,” katanya.

Selain itu, Mohamad Yusoff berkata LSANK merancang untuk mengemukakan lagi permohonan dalam RMK13 untuk pembangunan TAPS dan empangan rendah di sepanjang Lembangan Sungai Muda.

Beliau berkata pembangunan empangan rendah berhampiran dengan muka sauk loji rawatan air (LRA) akan membantu meningkatkan paras air di kawasan muka sauk pada musim kemarau dan membantu mengurangkan gangguan terhadap operasi LRA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan