WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bunuh Ibu: Hukuman Mati Penganggur Diganti Dengan Penjara 40 Tahun

26/08/2024 07:19 PM

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Seorang penganggur hari ini terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas lelaki itu dengan penjara 40 tahun kerana membunuh ibunya dan jasad wanita tersebut ditemukan dalam tangki septik.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim turut mengenakan 12 sebatan ke atas Mohammad Firdaus Ismail.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Rayuan Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Ketika membenarkan rayuan Mohammad Firdaus, Ahmad Zaidi berkata mahkamah mengambil kira fakta bahawa Timbalan Pendakwa Raya Roshan Karthi Kayan tidak memohon untuk mengekalkan hukuman mati itu.

Beliau berkata mahkamah juga mempertimbang hujah peguam Hussaini Abdul Rashid yang meminta agar Mohammad Firdaus dijatuhi hukuman penjara 35 tahun.

Hussaini dilantik oleh mahkamah untuk mewakili Mohammad Firdaus dalam rayuan itu.

“Selepas mempertimbang fakta kes, mahkamha mendapati rayuan ini mempunyai merit. Justeru, hukuman mati diganti dengan penjara 40 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 25 Sept 2018 dengan 12 sebatan rotan,” kata Ahmad Zaidi.

Terdahulu, Hussaini memaklumkan mahkamah bahawa Mohammad Firdaus menarik balik rayuannya terhadap sabitan dan hanya meneruskan rayuan terhadap hukuman mati.

Beliau meminta mahkamah menggantikan hukuman mati dengan penjara 35 tahun dan berkata ketika Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman mati ke atas Mohammad Firdaus pada 2022, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 belum dikuatkuasakan.

Hussaini juga berhujah bahawa Mohammad Firdaus menyesali tindakannya serta memaklumkan mahkamah tertuduh telah meminta maaf daripada adik-beradiknya dan mereka memaafkan serta melawatnya di penjara setiap bulan.

Menjawab soalan mahkamah, abang dan kakak Mohammad Firdaus yang hadir hari ini memaklumkan bahawa mereka telah memaafkan tertuduh serta menyokong permohonannya agar hukuman mati diganti dengan penjara.

Roshan, yang menyifatkan kes itu sebagai menyedihkan, pula berkata Mohammad Firdaus telah membunuh ibu sendiri yang selama ini menjaganya selepas menghidu campuran petrol dan gam yang membawa kepada halusinasi.

Bagaimanapun, beliau tidak berhasrat untuk meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati memandangkan keluarga Mohammad Firdaus telah memohon agar ia digantikan dengan penjara kerana mereka ingin mengelak daripada kehilangan seorang lagi anggota keluarga selepas kematian ibu mereka.

Justeru, beliau meminta mahkamah mengenakan hukuman maksimum penjara 40 tahun dengan 12 sebatan.

Mohammad Firdaus, 35, anak bongsu daripada lima beradik, telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 April 2022 bagi kesalahan membunuh Faridah Mat Hashim, 63 dan dijatuhi hukuman mati. 

Dia melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Lot 191, Mukim D, Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang antara 6.30 pagi dan 8 malam pada 9 Sept 2018.

Faridah, yang dilaporkan hilang, kemudian ditemukan mati dalam tangki septik di belakang rumahnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan