WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hari Keempat Operasi SAR Insiden Tanah Jerlus Tumpu Kaedah Jetting

27/08/2024 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Memasuki hari keempat, usaha mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas terus dipergiat dengan penggunaan kaedah jetting.

Mesin jetter, atau jet pembetung berkuasa tinggi, milik Indah Water Konsortium (IWK) digunakan bagi memecah sisa batuan yang dikesan pada kedudukan empat meter selepas lurang di lokasi insiden di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India di sini. 

Operasi diteruskan malam ini dengan mesin jetter digunakan untuk menyembur air bertekanan 3,000 PSI bagi memecah sisa batuan agar pasukan SAR boleh melihat jika terdapat sebarang objek asing termasuk mangsa yang tersangkut pada sisa batuan itu.

IWK turut melaksanakan teknik flushing di semua lurang sekitar lokasi kejadian selain pemantauan di Loji Kumbahan IWK Pantai Dalam namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah untuk segera menjalin kerjasama secara dekat dengan pakar geologi dan infrastruktur bagi menilai serta mengurangkan sebarang risiko insiden tanah mendap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau berkomunikasi dari semasa ke semasa dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif untuk mengenal pasti tindakan segera yang dilaksanakan dan strategi jangka panjang.

Beliau berkata pihak Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL juga akan memperkukuh prosedur operasi standard pembangunan dengan memastikan kajian geoteknik oleh jurutera bertauliah dikemukakan di peringkat lebih awal iaitu permohonan kelulusan perancangan. 

Dr Zaliha berkata beliau juga berkomunikasi dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia BN Reddy mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang berasal dari negara itu. 

Jabatan Imigresen pula telah melanjutkan visa kepada empat ahli keluarga iaitu suami, anak dan dua ahli keluarga mangsa insiden tanah jerlus itu selama sebulan. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Arvend Applasamy selepas mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa di lokasi kejadian hari ini, selain menyampaikan bantuan dan salam takziah daripada Ahmad Zahid.

Pada Jumaat lepas, mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan