WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MPM, JAS Anjur Bersama Program Tangani Tumpahan Minyak

27/08/2024 03:15 PM

LABUAN, 27 Ogos (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), pengendali pelabuhan kontena Labuan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama-sama menganjurkan Program Kontingensi Tumpahan Minyak di sini hari ini sempena Hari Ozon Sedunia yang akan datang.

Program setengah hari itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan untuk kemungkinan insiden tumpahan minyak yang boleh memberi kesan teruk kepada alam sekitar.

Ketua Pegawai Operasi MPM Datuk Seri Patrick Tiong berkata pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Laut menyertai ceramah selama tiga jam dengan masing-masing berkongsi pengalaman dan rancangan kontingensi untuk menangani tumpahan minyak.

Beliau berkata Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) sebagai badan kawal selia untuk Pelabuhan Labuan juga memainkan peranan penting dalam kelancaran acara itu dengan pemain industri utama dan pengguna pelabuhan menyertai perbincangan berkaitan.

“Acara itu juga menampilkan pameran luar jangka tumpahan minyak oleh agensi-agensi yang mengambil bahagian, menyediakan platform untuk pertukaran maklumat dan demonstrasi amalan terbaik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang merasmikan program itu menekankan kepentingan kerjasama erat antara agensi untuk memastikan tindak balas pantas dan berkesan terhadap insiden tumpahan minyak.

Sebagai sebahagian daripada program itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara MPM dan JAS, menekankan komitmen bersama mereka terhadap perlindungan alam sekitar daratan dan lautan.

“Perjanjian ini juga mengukuhkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar di Labuan,” katanya pada majlis pelancaran program itu di bangunan MPM di sini.

Beliau menekankan keperluan untuk program seperti ini kerap dilakukan, terutamanya dengan penglibatan pemain industri minyak dan gas utama seperti Petronas, Asian Supply Base, Labuan Shipyard dan syarikat multinasional lain.

Dr Suhaili yang juga pengerusi Asian Supply Base Sdn Bhd mengakui ada berlakunya tumpahan minyak di beberapa bahagian negara, termasuk Labuan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan