WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Operasi Cari Mangsa Kejadian Tanah Jerlus Diteruskan Di Loji Pantai Dalam - DBKL

27/08/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Penggunaan alat push rod dan crawler camera di lurang satu hingga ke lurang yang terletak di di hadapan Wisma Yakin bagi mengesan wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, tidak membuahkan hasil.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kaedah itu dilaksanakan selepas kaedah ‘jetting’ pada saluran paip kumbahan dan lurang dilaksanakan sejak petang semalam hingga 6.30 pagi tadi.

“Kerja jetting bagi memecahkan debris berjaya mengeluarkan sebarang ‘halangan’, bagaimanapun pemeriksaan menggunakan push rod dan crawler camera di lurang satu ke lurang di hadapan Wisma Yakin bagi mengesan kebarangkalian lokasi mangsa terperangkap adalah negatif,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu pasukan operasi mencari diteruskan di kawasan end point di loji Pantai Dalam, manakala pencarian di kawasan Jalan Masjid India diperluaskan sehingga ke kawasan kaki lima jalan berkenaan.

Hari ini merupakan hari kelima misi mencari pelancong dari Kuppam, Andhra Pardesh yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang hilang selepas terjatuh kedalam lubang sedalam lapan meter yang terhasil akibat kejadian tanah jerlus.

Semalam Bernama melaporkan mesin jetter atau jet pembetung berkuasa tinggi kini digunakan bagi memecah sisa batuan yang terdapat di lurang di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India di sini dalam usaha mencari Vijayaletcumy.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan