WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RHB Akan Terus Manfaatkan Peluang FDI Di Kawasan Pertumbuhan Tinggi

27/08/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- RHB Banking Group merancang untuk terus memanfaatkan peluang pelaburan langsung asing (FDI), terutamanya di Johor, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Sarawak yang berpotensi sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Rashid Mohamad berkata kumpulan itu juga menempatkan perhatian kepada Singapura, memandangkan minat yang tinggi oleh syarikat-syarikat Singapura untuk melabur melalui Invest Johor.

“Secara kolektifnya, Johor dan Singapura membawa potensi FDI ke Malaysia dan kami akan memudahkan usaha mereka jika mereka memerlukan sebarang pembiayaan atau pelaburan," katanya.

Mohd Rashid berkata kumpulan itu juga akan membantu memudahkan pelabur memilih projek yang mahu dijadikan pelaburan.

Beliau berkata pusat data dan sektor-sektor industri adalah antara bidang utama untuk pelaburan, serta projek-projek hartanah kediaman di Johor.

“Bagaimanapun, kami agak selektif dari segi projek-projek yang kami biayai,” katanya dalam sidang media mengenai keputusan kewangan separuh pertama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024 kumpulan itu yang dibuat secara maya di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi ringgit yang telah menjadi mata wang paling bernilai di rantau ini setakat kini, Mohd Rashid berkata ia berkemungkinan besar akan terus bergerak dalam aliran menaik hasil daripada usaha bersepadu dalam industri.

"Menjelang akhir tahun, ringgit dijangka berada antara julat 4.35 hingga 4.50 berbanding dolar AS, dengan kemungkinan terdapat sedikit turun naik.

"Jika Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah, ia boleh meningkatkan lagi prestasi ringgit," katanya.

Selain itu, Mohd Rashid berkata dengan meningkatnya aktiviti-aktiviti perbankan pelaburan, termasuk pengumpulan dana dalam pasaran modal dan ekuiti, keadaan ini akan menyediakan peluang yang lebih baik untuk merealisasikan pulangan pelaburan.

Mengulas mengenai prestasi kewangan kumpulan RHB Banking pada masa hadapan, beliau yakin kumpulan itu akan mencapai sasaran 6.5 hingga 7.0 peratus dari segi pertumbuhan pinjaman bagi setahun penuh 2024.

“Kami sedang mencapai kemajuan ketara dalam mengembangkan perkhidmatan kewangan mampan kami dengan mencapai lebih RM31.0 bilion daripada sasaran RM50 bilion yang digariskan dalam Strategi dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Lima Tahun kami.

“Kumpulan akan terus menyokong perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam perjalanan peralihan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka melalui program pembiayaan mampan kami.

"Kami melabur dalam pembangunan keupayaan untuk PKS dan menjalin perkongsian strategik serta kerjasama dengan persatuan-persatuan perniagaan dan pemain industri untuk membolehkan PKS mendapatkan akses kepada sumber dan kepakaran bagi amalan perniagaan yang mampan," katanya.

Mohd Rashid menambah kumpulan itu bersedia untuk memulakan strategi korporat baharunya yang akan dilancarkan pada suku pertama 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan