WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tanah Jerlus: Radar Menembusi Tanah (GPR) Digunakan Untuk Kesan Mangsa

27/08/2024 01:18 PM

KUALA LUMPUR 27 Ogos (Bernama) -- Alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah mungkin digunakan untuk mengesan wanita warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Alat yang dilihat sudah berada di lokasi kejadian dipercayai dibawa oleh Agensi Nuklear Malaysia pada 11.15 pagi tadi selain sepasukan teknikal daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut hadir membuat pemantauan.

Penggunaan alat itu sebagai usaha membantu mencari mangsa yang masih hilang walaupun kejayaan penggunaan alat itu belum dapat dipastikan.

GPR berfungsi dengan memancarkan gelombang elektromagnetik ke bawah permukaan tanah menerusi pemancar dan mengesan kembali gelombang yang terpantul menggunakan sensor penerima.

Selain itu, alat sama turut diguna pakai dalam kes tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022.

Dalam perkembangan sama, teknik flushing turut dilaksanakan di end point iaitu di Loji Pantai Dalam oleh Indah Water Konsortium (IWK) dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pemangku Pengarah JBPM Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata fokus hari ini bagi pencarian wanita warga India itu tertumpu pada end point.

“Hari ini, pasukan SAR teruskan kerja flushing. Fokus di end point Loji Pantai Dalam. Teknik flushing dan pemeriksaan fizikal oleh bomba dan IWK,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan mesin jetter atau jet pembetung berkuasa tinggi kini digunakan untuk memecahkan sisa batuan yang terdapat di lurang di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India di sini dalam usaha mencari mangsa.

Mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.22 pagi Jumaat lepas.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan