WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pencemaran: Premis Di Simpang Pulai Diberi Tempoh Tiga Bulan Kemuka Laporan Kepada JAS

27/08/2024 04:27 PM

IPOH, 27 Ogos (Bernama) -- Sebuah premis pemerolehan kembali buangan terjadual di Simpang Pulai dekat sini diberikan lesen sementara bagi tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan isu pencemaran bau dan udara sehingga mengganggu penduduk di kawasan berhampiran.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS)  telah memeriksa premis itu pada 21 Mei lepas dan tindakan diambil antaranya penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) dan Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta kertas siasatan dibuka bagi kesalahan menceroboh dan merosakkan sitaan yang dikenakan terhadap pihak premis.

Pada 29 Mei lepas, notis penggantungan lesen di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977 dikeluarkan kepada pihak premis kerana gagal mematuhi syarat-syarat lesen ditetapkan dalam Jadual Pematuhan dikeluarkan JAS.

"Tindakan penggantungan lesen telah dibatalkan pada 26 Julai 2024 setelah Jawatankuasa Audit berpuas hati dengan laporan pemeriksaan yang dijalankan pada 18 Julai 2024.

“Mesyuarat bersetuju lesen premis sementara diberikan dalam tempoh tiga bulan untuk premis berkenaan mengemukakan beberapa laporan yang memerlukan premis ini beroperasi sebelum tempoh penarikan balik penggantungan lesen sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai pembukaan tanah untuk tujuan pertanian, Nik Nazmi berkata pihak terlibat perlu mengikuti garis panduan ditetapkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Di peringkat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan meneliti keadaan tanah manakala Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terlibat jika melibatkan hutan dan hidupan liar,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri akan mengenal pasti punca kejadian kepala air di Ulu Slim, Muallim pada Jumaat lepas, sama ada ia disebabkan pembersihan kawasan hutan untuk pertanian selain adakah pihak terlibat telah memohon Kebenaran Merancang (KM) daripada PLANMalaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan