BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BJFood Dijangka Berdepan Kemerosotan Pendapatan Pada Tahun Kewangan 2025 Berikutan Boikot, Persaingan Sengit - Penganalisis

28/08/2024 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Berjaya Food Bhd (BJFood) dijangka menyaksikan penguncupan pendapatan pada tahun kewangan 2025 berikutan pemulihan jualan yang lembap disebabkan boikot yang berpanjangan dan persaingan sengit daripada rantaian kopi baharu dan yang telah kukuh, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

Dalam nota penyelidikan, CIMB berkata unjuran ini kekal walaupun BJFood merancang untuk membuka kedai baharu di Malaysia dan pasaran Nordic pada tahun depan.

Menurut firma itu, BJFood telah menutup tiga cawangan Starbucks dan menggantung sementara operasi 25 kedai yang mencatatkan prestasi rendah pada suku keempat tahun kewangan 2024 berikutan boikot yang berpanjangan.

Penutupan ini menyumbang kepada penurunan pendapatan sebanyak 5.8 peratus suku ke suku, menjadikannya RM130 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024.

“Pada tahun kewangan 2024, pendapatan merosot 34.6 peratus kepada RM730.3 juta, sebahagian besarnya berikutan jualan yang rendah susulan bermulanya boikot pada suku kedua tahun kewangan 2024,” katanya.

Sehingga suku keempat tahun kewangan 2024, BJFood mengendalikan 408 kedai Starbucks dan 60 cawangan Kenny Rogers Roasters di Malaysia.

Bagaimanapun, CIMB berkata kerugian bersih teras BJFood yang mengecil kepada RM0.1 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024 daripada RM31.1 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024, selepas mengecualikan item luar biasa berjumlah RM38.1 juta. 

Kemajuan ini berikutan margin keuntungan yang lebih baik susulan penutupan kedai Starbucks yang mencatatkan prestasi rendah.

“Ini menjadikan kerugian bersih teras tahun kewangan 2024 kepada RM38.5 juta, mengatasi unjuran kami dan anggaran konsensus, masing-masing sebanyak RM64 juta dan RM62 juta,” menurut CIMB.

CIMB telah mengurangkan anggaran kerugian bersih teras tahun kewangan 2025 sebanyak 34 peratus kepada RM17 juta dan menaikkan anggaran keuntungan bersih teras tahun kewangan 2026 sebanyak 24 peratus kepada RM19 juta, mencerminkan andaian margin keuntungan yang lebih tinggi.  

Di sebalik pelarasan ini, CIMB mengekalkan penarafan ‘jual’ dan menaikkan harga sasarannya kepada 38 sen.

Dalam analisis berasingan, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata pemulihan jualan BJFood dijangka mengambil masa, terutamanya berdasarkan konflik Israel-Palestin yang berterusan.

Menurut HLIB, kumpulan itu telah menghentikan sementara pengembangan perniagaan, yang menyebabkan tiada pembukaan kedai baharu pada suku tahun ini.

“Tahun kewangan 2024 mencatatkan sejumlah 408 kedai Starbucks, dengan tiga telah ditutup pada suku tahun tersebut. Kumpulan itu juga menutup sementara 25 kedai yang tidak aktif.

“Bagi menangani keadaan pasaran yang mencabar, kumpulan tersebut memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos, produktiviti buruh dan strategi pemasaran yang berkesan,” katanya.

HLIB membuat semakan semula dengan menurunkan unjurannya bagi tahun kewangan 2025 dan tahun kewangan 2026, masing-masing sebanyak 35 peratus dan 7 peratus serta mengekalkan penarafan ‘jual’ dengan harga sasaran yang lebih rendah sebanyak 20 sen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan