WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Fahmi Tarik Diri Bertanding Jawatan Presiden KLFA

28/08/2024 04:54 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Beliau berkata keputusan itu diambil susulan keputusan Jemaah Menteri hari ini untuk tidak membenarkan Menteri atau Timbalan Menteri bertanding atau memegang jawatan presiden mana-mana persatuan sukan. 

"Ia adalah berdasarkan satu keputusan Kabinet pada tahun 2007. Jadi kita putuskan hari ini bahawa kita akan teruskan amalan untuk tidak terlibat dan tiada pengecualian. 

"Berkuat kuasa serta-merta, saya menarik diri daripada bertanding sebagai calon Presiden KLFA," katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini. 

Fahmi berkata beliau telah merujuk keputusan itu kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Jumaat lepas, Fahmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden KLFA pada kongres pemilihan jawatankuasa persatuan itu.

Keputusan Kabinet hari ini turut menyaksikan pengumuman sama oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional," katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.

Bagaimanapun, Nik Nazmi berkata beliau akan terus menaungi Setiawangsa Rangers yang merupakan antara kelab bola sepak gabungan KLFA yang diasaskan olehnya sejak 2018.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau tidak mengetahui kesahihan dakwaan bahawa terdapat pihak cuba mengajak PAS menyertai Kerajaan Perpaduan. 

"Saya tiada komen tetapi apa yang saya boleh sebut adalah dari segi Memorandum Persafahaman (peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang), perkara itu sedang diteliti dan tunggu proses sahaja," kata beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan