WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan Paralimpik: Beri Habuan Kereta Kepada Yang Selayaknya – Presiden Mpm

28/08/2024 10:42 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 28 Ogos (Bernama) -- Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyarankan kepada pihak yang berminat menawarkan ganjaran hadiah kereta kepada atlet yang selayaknya pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Beliau secara peribadi berkata ganjaran yang dicadangkan itu perlu diberikan kepada pemenang emas dan bukan mereka yang memenangi pingat lain pada temasya sukan berprestij tersebut.

“Jika penaja  ingin beri kereta mereka, anda perlu berikan kepada juara yang bawa emas untuk negara kerana jika anda mahu jenama anda sebagai nombor satu, anda perlu memberikan kepada atlet yang menang (emas).

“Jika nak bagi atlet yang tak menang (pingat emas) terpulang kepada anda,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Megat D Shahriman berkata cadangan itu bagi menggelakkan rakyat berasa layanan tidak sama rata diberikan kepada pemenang dari sukan para berbanding apa yang dinikmati pemenang pingat dari temasya sukan disertai dalam kalangan atlet normal.

Sementara itu, beliau berkata seramai 24 atlet dan pegawai yang menyertai upacara pembukaan rasmi Sukan Paralimpik 2024 malam ini akan menggayakan pakaian rasmi yang sama dipakai kontinjen negara pada majlis sama sewaktu Sukan Olimpik 2024, juga di sini, Julai lepas.

Busana rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini berwarna skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan menyaksikan atlet wanita akan memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet berbaju Melayu Teluk Belanga.

Buat julung kalinya, upacara pembukaan rasmi yang dilangsungkan di luar stadium dalam sejarah Sukan Paralimpik menyaksikan atlet akan berarak sepanjang laluan di lokasi ikonik di sini, Champs-Elysees sehingga Place de la Concorde.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024, Datuk R Subramaniam pula berkata setakat ini tiada sebarang masalah timbul melibatkan kontinjen negara pada Paris 2024.

Berdasarkan laporan dari setiap pengurus sukan, kesemua 30 atlet negara juga siap sedia berjuang menggalas tugas negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berakhir pada 8 Sept ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan