BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 WILAYAH - UTARA > BERITA

Seramai 10,000 Dijangka Hadir Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang

29/08/2024 01:20 PM

GEORGE TOWN, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri menjangkakan kehadiran lebih 10,000 pengunjung pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang akan diadakan di Jalan Padang Kota Lama di sini pada Sabtu. 

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri memaklumkan perbarisan bermula 7.30 pagi dan dijangka selesai pada 11.30 pagi.

Beliau berkata tahun ini, sebanyak 106 kontinjen melibatkan 7,190 peserta akan menyertai kawad kaki yang terdiri pelbagai jabatan, agensi negeri dan persekutuan, badan berkanun negeri dan persekutuan, anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Untuk kontinjen kenderaan sebanyak 20 penyertaan melibatkan 1,078 peserta dan 714 kenderaan manakala keseluruhan jawatankuasa dan petugas yang terlibat seramai 1,877 orang.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan kontinjen dan urus setia yang terlibat pada tahun ini ialah 10,145 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Law berkata sambutan tahun ini turut diserikan dengan persembahan koir lagu patriotik oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China, persembahan gabungan tarian tiga kaum serta persembahan pukulan jidur, pasukan kawalan kehormatan daripada Rejimen Kedua Pasukan Melayu Diraja dan aset kenderaan Perisai GEMPITA 8x8.

Selain itu, beliau berkata terdapat persembahan khas Hari Kebangsaan iaitu kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tarian Perang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata sebanyak 20 gerai pameran pelbagai jabatan dan agensi turut dibuka selain pameran aset dan jentera berat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor; Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri serta barisan kepimpinan negeri; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta kenamaan negeri yang lain dijangka hadir pada sambutan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan