BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pancaragam KAD Pertaruh Lebih 20 Lagu Sempena Hari Kebangsaan 2024

29/08/2024 03:02 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA,  29 Ogos (Bernama) -- Tampil kemas dan bergaya dalam uniform celoreng hijau Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 58 anggota pasukan Pancaragam Kor Armor Diraja (KAD) akan mempertaruhkan 20 lagu berkonsep patriotik pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Sabtu ini di Dataran Putrajaya, di sini.

Dipimpin oleh Leftenan Kolonel Zaiful Azman Zainul Abidin dan dibantu Band Sarjan Mejar Pegawai Waran I Madzain Medol, kumpulan pancaragam itu akan menggetarkan halwa telinga kira-kira 200,000 pengunjung dan tetamu kehormat yang hadir menyaksikan acara perarakan dan perbarisan dinanti-nantikan setiap tahun itu.

Berkongsi kepada Bernama selepas acara raptai penuh, Madzain yang telah 22 tahun aktif bermain alat muzik dalam pasukan itu berkata mereka menggunakan 13 instrumen muzik antaranya dram bes, dram samping, eufonium, seksofon, klarinet dan simbal.

Selain mempersembahkan irama sinonim dengan tentera, pancaragam itu akan turut memainkan lagu patriotik seperti 31 Ogos, Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia serta lagu-lagu lain yang menjadi siulan orang ramai.

Madzain berkata bagi Sambutan Hari Kebangsaan kali ini, pasukan itu menjalani latihan selama dua minggu di Kem Sungai Besi bagi memperkasakan kemahiran mereka bermain alat muzik.

"Apa yang membezakan Pancaragam KAD dengan pancaragam lain ialah pasukan kami boleh memainkan lagu tanpa melihat kepada skor muzik dengan hanya berpandukan gerakan baton dari konduktor.

"Selain itu, semasa berarak kami juga akan mempersembahkan beberapa gerakan formasi untuk tatapan pengunjung," katanya.

Beliau berkata pengalaman mengikuti kursus Dram Mejar selama enam bulan di Army Education Corps Training College and Centre Pachmarhi, India akan digunakan dalam membantu Zaiful Azman mengendalikan pancaragam berkenaan.

Dataran Putrajaya dipilih buat kali kedua berturut-turut di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan untuk menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti yang akan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan lain dijayakan oleh 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pasukan pancaragam, 534 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta 100 haiwan dalam perkhidmatan.

‘Malaysia MADANI : Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan