BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 WILAYAH - TIMUR > BERITA

Hampir 4,000 Kanak-kanak Perlu Perlindungan Sepanjang Januari Hingga Mei Tahun Ini - Nancy

29/08/2024 02:59 PM

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merekodkan seramai 3,957 kanak-kanak di seluruh negara memerlukan pemeliharaan dan perlindungan akibat pelbagai kes untuk tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu seramai 2,522 terdiri kanak-kanak perempuan manakala 1,435 lagi kanak-kanak lelaki.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, Sabah ialah negeri paling ramai iaitu seramai 533 orang diikuti Johor (523) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (427). 

“Jumlah ini amat membimbangkan. Sebab itu kita di kementerian mengambil pelbagai langkah termasuk melaksanakan program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak.

"Memperkasakan anak-anak ini supaya mereka tahu bahawa mereka ada hak dan tahu bagaimana untuk melaporkan sekiranya terdedah atau terlibat dengan situasi tidak selamat seperti penderaan dan pengabaian,"  katanya kepada pemberita. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Terengganu 2024 di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II di sini hari ini.

“Ini penting kerana banyak kes bukan hanya dilakukan oleh orang luar tetapi dilakukan oleh sesama keluarga sendiri dan ini menyukarkan kita bila berlaku di rumah. Siapa yang hendak membantu anak-anak ini untuk melapor?,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata kementerian juga merekodkan seramai 7,658 kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di seluruh negara sepanjang tahun 2023.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 4,892 kanak-kanak perempuan manakala 2,766 kanak-kanak lelaki dan secara keseluruhan Selangor mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 1,321 orang; diikuti Johor (1,033); dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (923).  

Di Terengganu merekodkan seramai 132 kanak-kanak untuk tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan 85 kanak-kanak perempuan dan 47 lelaki. 

Beliau berkata jumlah itu termasuk 63 kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan kerana diabaikan oleh ibu bapa atau penjaga; 24 dicederakan dan dianiaya secara seksual; 13 dicederakan dan dianiaya secara fizikal; manakala 11 lagi tidak dilindungi ibu bapa atau penjaga atas kecederaan dan penganiayaan secara seksual. 

Sehubungan itu, program advokasi berkenaan yang dijalankan di seluruh negara terutama di sekolah-sekolah adalah penting antara lain bagi meningkatkan kefahaman kanak-kanak berkenaan situasi yang mereka perlukan pemeliharaan dan perlindungan.

“Sebab itu program advokasi kita tidak lagi kepada orang dewasa, kita pergi ke sekolah untuk kita berkongsi kepada kanak-kanak ini supaya mereka ini yakin bahawa ada peluang untuk mereka melindungi diri sendiri,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan