WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Imigresen Tahan Lima Lelaki Bangladesh, Tumpas Sindiket Pemalsuan Dokumen Fomema

29/08/2024 09:03 PM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) selepas menahan lima lelaki warga Bangladesh dalam serbuan di sekitar Petaling Jaya semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata susulan penahanan seorang lelaki Bangladesh yang disyaki ‘dalang utama’ sindiket itu, pihaknya menyerbu sebuah premis kediaman dan berjaya menahan empat lagi lelaki Bangladesh yang dipercayai pembantunya.

Beliau berkata modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan kepada warganegara asing yang tidak memiliki pasport untuk mendapatkan dokumen Fomema, iaitu mereka akan menggunakan khidmat pembantu sindiket dengan bayaran RM100 untuk setiap pasport bagi tujuan mendapatkan dokumen itu. 

Pembantu sindiket itu akan hadir ke klinik panel Fomema untuk memohon dengan menggunakan maklumat di pasport yang disyaki palsu, dan Ruslin berkata siasatan mendapati kesemua pembantu sindiket telah hadir sebanyak 19 kali di klinik panel berlainan.

"Semakan awal mendapati ‘dalang utama’ itu telah tinggal lebih masa manakala yang lainnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada dalam negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata sindiket yang dipercayai telah beroperasi selama kira-kira empat bulan itu menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mempromosikan perkhidmatan mereka, dengan kadar bayaran yang dikenakan adalah RM500 untuk setiap perkhidmatan.

Beliau berkata dalang utama itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(a) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 manakala empat lelaki yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966. 

"Kesemua warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut, dan seorang lelaki tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan