WILAYAH - TENGAH > BERITA

Da'i Syed Dipenjara 10 Tahun, Tiga Sebatan Kerana Rogol Seorang Wanita

30/08/2024 12:56 PM

SHAH ALAM, 30 Ogos (Bernama) -- Pendakwah selebriti, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang wanita, lima tahun lepas.

Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Shah Iqmal, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau berkata tertuduh merupakan seorang pendakwah agama dan penceramah motivasi yang memberikan impak besar kepada masyarakat justeru perbuatan yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa tidak dapat diterima akal yang munasabah.

“Mahkamah mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana mangsa mengumpulkan kekuatannya untuk tampil membuat laporan polis terhadap tertuduh dan perlu menghadiri proses perundangan yang panjang di mahkamah,” kata Norazlin yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Syed Shah Iqmal dituduh merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 Sept 2019, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Dalam penghakimannya, Norazlin berkata mahkamah berpendapat bahawa pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian dan pemikiran semula meskipun disokong pernyataan awalnya kepada pihak polis.

Beliau berkata keterangan tertuduh juga tidak cukup untuk mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya telah berlaku.

"Tertuduh menafikan terdapat elemen paksaan terhadap mangsa, bermula ketika tertuduh mengajak mangsa keluar hingga ke saat hubungan seks dilakukan. Tertuduh turut menafikan terdapat ancaman kepada mangsa, sama ada semasa atau selepas kejadian dan dia juga menyatakan mangsa tidak cuba melarikan diri dan komunikasi mereka selepas itu adalah baik.

"Namun, pembelaan berhujah bahawa keterangan tertuduh itu tidak konklusif dan tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah kerana pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata," kata hakim itu.

Menurut Norazlin, mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa tertuduh adalah individu yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa mangsa ke rumahnya.

“Tertuduh mempunyai latar belakang sebagai seorang penceramah dan motivator terkenal, mempunyai satu kedudukan yang mulia dan dipercayai oleh mangsa. Pihak pendakwaan juga telah membuktikan mangsa adalah seorang yang lemah kerana mengalami kemurungan dan ini menyebabkan mangsa yang lurus bendul tidak boleh membuat keputusan serta tidak boleh melawan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan