WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Prospek Wasco Cerah, Nilai Perolehan Kontrak Cecah RM3.7 Bilion

30/08/2024 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Wasco Bhd mencatat peningkatan ketara dalam nilai perolehan kontrak diraih daripada RM3.2 bilion kepada RM3.7 bilion dalam suku kedua tahun kewangan 2024 susulan pemerolehan kontrak yang lebih besar.

Public Investment Bank Bhd  menerusi nota penyelidikannya berkata pengurusan kumpulan infrastruktur tenaga itu juga menyasarkan nilai perolehan kontrak terus meningkat dalam separuh kedua tahun kewangan 2024 susulan projek utama seperti NXFP dan Yinson Agogo yang dijadual siap dalam tempoh berkenaan.

Penyiapan projek berkenaan akan melepaskan sumber berkaitan, sekali gus membolehkan Wasco mengambil kontrak baharu dan mengekalkan momentum pertumbuhannya.

“Kami percaya nilai perolehan itu kekal lebih daripada RM3.0 bilion, didorong oleh nilai tender RM7.2 bilion berikutan pelbagai projek dalam perancangan di negara-negara yang menjadi lokasi operasinya.

“Ini juga dipacu oleh aspek keselamatan tenaga susulan peningkatan risiko geopolitik,” katanya.

Pada masa sama, bank pelaburan itu turut mengunjurkan kemunculan Petroleum Sarawak Bhd dalam landskap industri tempatan hanya memberi kesan kecil kepada Wasco berikutan operasinya di peringkat global manakala kurang 10 peratus daripada perolehannya disumbangkan oleh pelanggan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata Wasco berjaya meningkatkan nilai perolehan kontrak RM1.1 bilion yang memberangsangkan pada suku kedua tahun kewangan 2024, merangkumi terutamanya projek pencawang bernilai RM700 juta di Timur Tengah.

Berikutan itu, nilai perolehan kontrak belum jelasnya adalah lebih tinggi pada RM3.7 bilion dalam Jun 2024 (meningkat daripada RM3.2 bilion pada Mac 2024), sekali gus membuka jalan kepada pertumbuhan pendapatan secara berturutan bagi suku akan datang.

Nilai perolehan tender pula kekal pada RM7 bilion yang disifatkan HLIB sebagai memadai untuk meningkatkan nilai perolehan kontrak ketika beberapa projek utama dalam proses disiapkan secara berperingkat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan