WILAYAH - UTARA > BERITA

Gangguan Seksual Terhadap Kerani Bank: Siasatan Polis Di Peringkat Akhir

30/08/2024 10:21 PM

IPOH, 30 Ogos (Bernama) -- Siasatan kes seorang pegawai operasi sebuah bank di Bercham, di sini berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita rakan sekerjanya berada di peringkat akhir. 

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum ia dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. 

"Pihak polis telah menerima satu laporan yang dibuat mangsa berusia 38 tahun pada 7.17 malam, 16 Ogos lepas berhubung gangguan seksual yang dilakukan oleh penyelianya iaitu kejadian yang berlaku sekitar 2021. 

"Suspek merupakan warga tempatan berusia 52 tahun dan kes ini telah kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu gangguan seksual atau kesalahan perkataan dan isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 120 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mengadakan piket di hadapan sebuah bank di Bercham pada Rabu lepas bagi membantah tindakan syarikat itu dalam mengendalikan kes gangguan seksual membabitkan pekerjanya.

Setiausaha NUBE J Solomon berkata piket aman itu bertujuan menarik perhatian umum terhadap nasib mangsa dan menuntut tindakan segera serta adil daripada pihak pengurusan tertinggi bank berkenaan. 

NUBE mendakwa pada Okt 2021 mangsa membuat aduan rasmi kepada bank melaporkan bahawa penyelianya telah menghantar mesej yang bersifat seksual dan tidak senonoh melalui aplikasi WhatsApp. 

Dalam pada itu, Azizi berkata polis memandang serius dan menasihati orang ramai untuk tidak melanggar mana-mana kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

"Pihak polis telah mengesan satu video yang tular berkaitan perhimpunan di Chemor itu pada hari yang sama dan ia telah berjalan dengan aman tanpa sebarang kekecohan atau pergaduhan. 

"Kita juga meminta mana-mana individu tampil ke balai polis membuat laporan polis jika berlakunya sebarang salah laku gangguan seksual di tempat kerja," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan