WILAYAH - UTARA > BERITA

Kayuhan Perahu Panjang, Aktiviti Berkayak Semarakkan Bulan Kebangsaan

30/08/2024 11:07 PM

ARAU, 30 Ogos (Bernama) -- Program Kayuhan Merdeka sinonim dengan aktiviti berbasikal, namun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad di sini tampil kelainan apabila menganjurkan program itu  dengan mengadakan pertandingan perahu panjang dan aktiviti berkayak hari ini.

Pengetua sekolah berkenaan Ismail Md Nor berkata program kayuhan dengan jarak 200 meter di Sungai Kampung Tambun Tulang di sini yang kali pertama dianjurkan, bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

"Kira-kira 100 peserta menyertai program itu melibatkan 80 pelajar SMK Syed Ahmad dalam pertandingan perahu panjang manakala selebihnya merupakan tetamu jemputan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau bagi aktiviti berkayak," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada program kayuhan itu yang turut dihadiri Pengarah Penerangan Perlis Mazli Hamdan, Ismail berkata aktiviti berkayak oleh IPT berkenaan turut dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang.

Beliau berkata Program Kayuhan Merdeka itu mendapat kerjasama beberapa pihak seperti Komuniti MADANI Tambun Tulang, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Penerangan Perlis.

Sementara itu, pelajar tingkatan empat SMK Syed Ahmad, Puteri Nur Balqis Jalaluddin berkata dia teruja menyertai program itu sebagai antara usaha menterjemahkan semangat patriotisme.

"Hari ini memang seronok … sekolah kami saja yang buat program macam ini dan saya merasakan satu keunikan kepada sekolah kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan